WAYANG KULIT DI MALAYSIA


1.0  PENGENALAN WAYANG KULIT

Wayang Kulit merupakan sejenis teater tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara sebelum kedatangan pelbagai seni hiburan dan persembahan moden yang kebanyakannya berasaskan media elektronik. Menurut ‘Ainu Sham Ramli dan Mohd. Azmi Ibrahim (1996), Wayang Kulit merupakan satu bentuk persembahan teater yang menggunakan prinsip cahaya dan bayang. Bayang-bayang daripada patung-patung kulit yang terdiri daripada pelbagai watak methologi dan khayalan dimainkan oleh seorang Dalang. Persembahan wayang kulit selalunya diiringi oleh satu kumpulan muzik paluan atau gamelan dan juga alat tiupan (serunai) atau alat bertali (rebab). Wayang Kulit dipersembahkan dalam upacara atau perayaan tertentu. Fungsi Wayang Kulit ini adalah sebagai medium hiburan dan kadang-kala dikaitkan dengan unsur ritual yang terdapat dalam sesuatu masyarakat. Seni persembahan ini tersebar dan membentuk satu identiti tersendiri dalam sesebuah masyarakat.

            Asal usul wayang kulit telah banyak diperkatakan sebelum ini. Rata-rata berpendapat bahawa wayang kulit telah wujud di Indonesia sejak beberapa kurun lalu dan dibawa dari Indonesia serentak dengan proses penyebaran agama Hindu. Pendapat ini sukar dibuktikan sama ada benar atau tidak. Kalau pun benar, kebenaran ini mungkin dalam aspek-aspek tertentu sahaja. Tidak terdapat sebarang persamaan baik dari segi falsafah mahu pun dalam cara persembahan antara wayang kulit Jawa atau Melayu dengan tradisi teater India. Bukti yang konkrit pun tidak pernah dicatat secara pasti. Catatan yang ditemui hanya berupa pandangan dan pendapat yang diasaskan pada pergerakan sejarah semata-mata. Namun demikian cerita wayang kulit di Pulau Jawa, Bali atau Malaysia semuanya berasaskan pada dua hikayat Dewa-dewa, iaitu Mahabharata dan Ramayana. Begitu juga dengan persamaan istilah seperti wayang, dalang, panggung dan kelir.

            Pengertian istilah wayang dalam bahasa Melayu menurut Umi Abdullah (2013) pula ialah bayang-bayang yang bergerak ke sana ke mari. Dalang membawa erti orang yang melakukan persembahan wayang. Panggung pula membawa pengertian tempat berbumbung yang disekelilingnya tertutup dan digunakan untuk pertunjukan wayang.

            Selain di Jawa dan Malaysia, wayang kulit juga terdapat di Bali, Kemboja dan China. Nama yang diberi kepada wayang kulit ini berbeza mengikut budaya dan bahasa setempat, walaupun fungsi dan asas persembahannya adalah sama. Di Thailand, wayang kulit dikenali sebagai Nang Yai, di Kemboja disebut dengan nama Nang Sbek manakala di Jawa digelar Wayang Purwa.

            Wayang Kulit Melayu dipercayai dibawa dari Tanah Jawa ke Kemboja oleh seorang putera raja Kemboja yang bergelar Jaya Verman II. Beliau amat tertarik kepada falsafah dan persembahan wayang kulit lalu membawanya ke Kemboja dalam usaha untuk menyatukan kembali negaranya. Beliau berusaha mengubahsuai, merekacipta semula dan menghasilkan wayang kulit Kemboja. Keseluruhan rupa bentuk dan cara persembahan wayang kulit Kemboja telah berubah dan amat berbeza daripada wayang kulit Jawa. Semua watak dan cerita wayang kulit Kemboja diasaskan kepada cerita Ramayana. Kemungkinan di sinilah bermulanya asas bagi wayang kulit Siam dan wayang kulit Melayu kemudiannya.

            Walaupun terdapat beberapa persamaan dari segi cerita dan rupa bentuk patung wayang, namun banyak yang telah diubahsuai mengikut budaya dan selera masyarakat tempatan. Begitu juga dengan patung wayang kulit yang telah diubahsuai. Patung wayang Jawa lebih ramping dan lampai berbanding dengan wayang Melayu yang kelihatan lebih gagah dan tegap. Kedua-dua tangan patung wayang kulit Jawa dapat digerakkan, tetapi patung wayang Melayu hanya dapat digerakkan sebelah tangannya sahaja. Begitu juga dengan patung wayang Kemboja yang kelihatan lebih besar dan memerlukan beberapa orang dalang untuk membantu dalam persembahan. Dapat dikatakan bahawa setiap wayang kulit dari pelbagai negara mempunyai ciri dan fungsi tersendiri. Kemungkinan inilah yang menyebabkan wayang kulit menjadi satu persembahan teater tradisional di kebanyakan negara Asia Tenggara.

            Dipercayai tradisi persembahan wayang kulit bermula sejak lebih 3000 tahun di Indonesia. Di Semenanjung Malaysia pula wayang kulit dianggarkan bermula sejak beberapa ratus tahun lalu. Kita mungkin tertanya-tanya, kenapakah wayang kulit masih kekal hingga sekarang? Sebabnya ialah wayang kulit mempunyai nilai-nilai yang diperlukan oleh kehidupan manusia, baik dari segi material mahupun spiritual. Wayang kulit didapati mampu menggerakkan hati seseorang. Semakin tinggi jiwa seseorang pendukung, semakin tinggi pula perhatiannya terhadap wayang kulit. Semakin mendalam pengkajian dan pemahaman terhadapnya semakin takjub pula dirasakan.

            Di awal abad ke-9, wayang kulit Melayu yang berasaskan cerita Ramayana kerap dimainkan di Patani, Kelantan, Kedah dan Perak. Dalang wayang kulit dari utara Semenanjung mengembara dan mengadakan persembahan di Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan di kawasan-kawasan pantai timur negeri Johor. Pada pertengahan abad ke-9, sebilangan besar dalang wayang kulit hidup subur dan telah sekian lama kukuh bertapak menjadi tradisi dan budaya dalam masyarakat Melayu Kelantan. Falsafah yang dibawa dalam persembahan wayang kulit dipercayai diasaskan pada pemahaman agama Islam yang mendalam.

            Peranan "Dalang" sebagai dukun atau bomoh dalam masyarakat merupakan salah satu asas pengekalan tradisi ini di Kelantan. Dipercayai kekuatan spiritual dalam penyelenggaraan wayang kulit dapat menimbulkan malapetaka atau bahaya. Dialog persembahan wayang kulit juga telah diadun dan diubahsuai ke dalam longhat setempat (longhat Kelantan dan Patani). Kemungkinan inilah juga sebabnya persembahan wayang kulit tidak kekal dan sesetengahnya diubahsuai mengikut kehendak dan selera masyarakat setempat.

            Menurut Museum Basoeki Abdullah (2008), dalam proses perkembangannya wayang kulit[3] telah banyak melalui perubahan. Setelah melalui pelbagai zaman, wayang kulit dapat menyesuaikan dirinya secara bebas dan kreatif. Wayang kulit bermula sebagai alat yang ada kaitannya dengan upacara penyebaran agama, tetapi kemudiannya digunakan sebagai alat pendidikan dan penerangan. Pada kesempatan inilah nilai-nilai pendidikan dan pembangunan keluarga disampaikan. Nilai-nilai pembangunan masyarakat sebenarnya didasarkan pada hakikat bahawa keluarga menjadi agen pembentukan masyarakat. Inilah antara faktor mengapa wayang kulit sehingga kini menjadi salah satu tradisi kesenian negara.

            Pada masa dahulu terdapat dua jenis persembahan wayang kulit di Semenanjung Malaysia, dan kebiasaannya dimainkan di negeri-negeri Utara Semenanjung yang bersempadanan dengan negara Siam (Thailand) dan juga Wilayah Siam dan Wayang Jawa. Adunan daripada kedua-dua jenis wayang inilah yang telah menghasilkan Wayang Kulit Melayu. Wayang Kulit Jawa kini semakin pupus di Malaysia dan kalau ada pun, hanyalah untuk segelintir masyarakat Jawa di negeri ini ataupun dimainkan atas kehendak dan naungan para budayawan tempatan. Biasanya persembahan wayang kulit dipentaskan sewaktu ada pesta dan keramaian sosial, seperti pesta dan keramaian selepas menuai padi, di majlis perkahwinan dan berkhatan. Dewasa ini, ada sedikit perbezaan kerana persembahan-persembahan wayang kulit dianjurkan oleh pertubuhan-pertubuhan atau badan-badan kebudayaan tempatan mahupun oleh badan perniagaan. Jarang sekali lita lihat individu yang menganjurkan persembahan wayang kulit. Namun demikan, wayang kulit tetap hidup subur dalam budaya masyarakat Melayu di Malaysia.

            Sebilangan besar dalang wayang kulit mendiami kawasan-kawasan penanaman padi. Hal ini bermakna musim permainan wayang kulit akan bermula sebaik sahaja padi habis dituai dan akan berlarutan sehingga bermulanya musim hujan. Seseorang dalang yang terkenal akan sentiasa mendapat jemputan mengadakan persembahan. Bagi dirinya kerja ini akan dapat mengisi masanya terutamanya dari bulan Mac hingga Oktober. Terdapat segelintir sahaja para dalang yang menampung hidup sepenuhnya daripada pendapatan persembahan wayang kulit. Kebanyakan dalang mempunyai pekerjaan sampingan, seperti menjadi pesawah ataupun menjadi penghibur dan juga dukun. Di sinilah para dalang menjadi lambang serta sumber harapan kepada masyarakat setempat.



2.0 SEJARAH WAYANG KULIT

Selain di Thailand, Jawa dan Malaysia, wayang kulit juga turut didapati di Bali, Kemboja dan China. Fungsi dan asas persembahannya sama tetapi nama yang diberi pada wayang kulit ini adalah berbeza mengikut tempat, budaya dan bahasa. Wayang kulit Jawa dikenali sebagai Wayang Purwa, wayang kulit Thailand pula dikenali sebagai Nang Yai dan Nang Talung manakala wayang kulit Kemboja disebut sebagai Nang Sbek.

            Menurut Rahimidin Zahari (2013), setiap wayang kulit[4] mempunyai ciri dan fungsi tersendiri walaupun terdapat beberapa persamaan dari segi cerita dan rupa bentuk patungnya. Akan tetapi wayang kulit kini banyak yang telah diubah mengikut budaya dan citarasa setempat. Melihat kepada ciri-ciri dan reka bentuk patung wayang kulit ini terdapat beberapa perbezaan yang boleh dikenal pasti. Antaranya, kedua-dua tangan patung wayang kulit Jawa dapat digerakkan, tetapi wayang kulit Melayu hanya dapat digerakkan sebelah sahaja. Patung wayang Jawa lebih tinggi serta ramping jika dibandingkan dengan patung wayang kulit Melayu yang nampak lebih gagah dan tegap. Patung wayang kulit Kemboja pula yang memerlukan beberapa orang dalang untuk menggerakkannya dalam sesuatu persembahan.

            Di Malaysia terdapat beberapa jenis wayang kulit iaitu Wayang Kelantan (Siam), Wayang Kulit Jawa, Wayang Gedek (Kedah) dan Wayang Melayu. Wayang Kelantan dan wayang Gedek-Siam popular di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu, Utara Semenanjung seperti Kedah, Perlis dan Perak. Manakala wayang kulit Jawa sangat popular di Johor dan Selangor.




3.0 JENIS-JENIS WAYANG KULIT

Pelbagai "Bentuk" dan "Jenis" wayang kulit boleh didapati di Asia terutamanya di sebelah Asia Tenggara. Setiap jenis mempunyai bentuk dan wataknya yang tersendiri dan agak berbeza dari satu kawasan atau latar belakang masyarakat lain. Hari ini di Semenanjung Malaysia sahaja terdapat empat (4) jenis wayang kulit dan setiap satu mencerminkan pengaruh-pengaruh masyarakat dan juga kebudayaan yang telah mempengaruhi masyarakat itu. Empat jenis wayang kulit yang dimaksudkan adalah seperti Wayang KelantanWayang Kulit Jawa (Purwo), Wayang Gedek (Kedah) dan Wayang Melayu. Wayang Kelantan dan  wayang Gedek-Siam popular di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu, Utara Semenanjung seperti Kedah, Perlis dan Perak. Manakala wayang kulit Jawa sangat popular di Johor dan Selangor.

3.1 Wayang Kulit Melayu

a) Pengenalan           
Menurut ‘Ainu Sham Ramli dan Mohd. Azmi Ibrahim (1996), Wayang Kulit Melayu[5] merupakan sesuatu bangsa yang bertamadun diiktirafkan menerusi paparan kesenian yang tinggi dan dijelmakan dalam pelbagai manifestasi seperti seni lukis, seni pentas, seni muzik, seni sastera, seni filem dan seumpamanya. Secara umum seni boleh ditakrifkan sebagai sesuatu yang halus, elok, cantik, menusuk jiwa dan memuaskan pancaindera. Wayang           kulit melayu ini lazimnya terdapat di Pantai Timur terutamanya Kelantan dan        Terengganu.

b) Isi Cerita
Isi cerita dalam wayang kulit melayu dipengaruhi oleh cerita-cerita panji dan juga bersandarkan epik mahabrata terutamanya Pendawa Lima.
  
c) Bentuk Patung & Watak
Bentuk patung wayang kulit melayu mempunyai persamaan dengan wayang purwa yang mana persamaan itu boleh dilihat melalui pergerakan sendi patung. Sendi-sendi patung dalam wayang kulit melayu kedua-duanya boleh digerakkan. Lazimnya amat mudah untuk mengenali watak baik dalam cerita wayang kulit melayu ini iaitu, bentuk patung watak baik akan mendongak kebawah dan bertubuh kecil, watak jahat, kasar dan sombong berhidung besar serta mendongak ke atas.

d) Alat Muzik
i.                    Rebab
Penggesek dibuat dari kayu dan melengkong sedikit. Cara bermain rebab diletak berdiri didepan pemain yang duduk bersila dilantai. Rebab digesek dan sambil menggesek jari-jarinya mengawal ketegangan tali-tali penggesek.
ii.                Canang
Diperbuat daripada perunggu atau gangsa. Ia adalah gong kecil berbusut, tepinya melengkong ke dalam sedikit seperti gong yang berbentuk periuk. Gong-gong diatur berbaris melengkong ke atas satu para dan dipalu pada busutnya dengan sepasang pemalu yang berbalut dihujungnya oleh seorang pemain.
iii.              Gong
Diperbuat daripada perunggu berbentuk bulat, tepinya melengkong ke bawah, berongga di dalam dan cembul di tengah - tengah bahagian permukaannya. Digantung dan dipalu dengan pemalu yang berbalut.
iv.              Mong
Mong ialah sama denga tetawak tetapi lebih kecil ukurannya. Diatur berbaris diatas tali yang direngang pada para-para dan dipalu dibusutnya dengan pemalu beralas dihujungnya.
v.                Kesi
Kesi terdiri daripada piring kecil yang diperbuat dari besi waja. Piring ini mempunyai tutup yang bertangkai. Kesi dimainkan dengan menghentakkan tutup piring pada piring bawah. 

e) Bahasa
Cerita ini disampaikan dalam bahasa Jawa disamping diselitkan dialek Melayu tempatan.


3.2 Wayang Gedek

a) Pengenalan
Wayang Gedek[6] menurut Hassan Othman (2004) adalah merupakan satu bentuk teater tradisional yang menggunakan asas cahaya dan bayang-bayang pada sehelai kain putih yang direntangkan atau diletakkan secara menegak yang dipanggil 'kelir'. Perkataan 'wayang' menurut Kamus Dewan dalam penulisan Hassan Othman bermakna patung dan lain-lain material untuk mempertunjukan sesuatu cerita. Asal perkataan 'wayangadalah diambil dari bahasa Bugis yang disebut dalam bahasa Jawa sebagai 'bayangan' dan dalam bahasa Aceh disebut sebagai 'bayang', bahasa Melayu menggunakan perkataan 'bayang-bayang' dimana wayang itu adalah terbitnya bayang-bayang yang diwujudkan dengan cara menggerakkan sesuatu objek yang dipanggil patung-patung wayang kulit.
            Akar kata perkataan wayang adalah 'yangdan lanjutnya pula melahirkan perkataan lain seperti perkataan 'layang', 'poyang' dalam bahasa Jawa 'tidak tenang', 'doyang' maknanya miring 'senget', 'royong' tidak stabil atau statik. Dari semua perkataan ini dapat disimpulkan makna kepada wayang kulit ialah merupakan sesuatu yang tidak stabil atau tetap, menggunakan objek-objek yang tidak tenang bergerak-gerak dan terbang melayang terutamanya jika dilihat dari segi visual.
            Wayang Gedek dipersembahkan di Utara Semenanjung Malaysia seperti di Perlis, Kedah dan juga Perak. Negeri-negeri ini juga menerima pengaruh kuat dari Thailand. Kawasan ini terdedah kepada proses percantuman budaya dari sebuah negara dengan negara lain. Contohnya dari segi bahasa pertuturan, cara hidup dan tidak ketinggalan juga dari segi persembahan seni teaternya.

b) Bahasa
Wayang Gedek menggunakan dialek Kedah bercampur Thailand. Unsur-unsur Thailand juga jelas dalam kelihatan dari aspek reka corak pakaian pada patung itu sendiri yang berunsurkan wayang Siam. Semasa memulakan persembahan, upacara 'buka Panggung' adalah menggunakan bahasa Thailand keseluruhanya walaupun cerita yang hendak disampaikan adalah dalam dialek Kedah sepenuhnya. 

c) Tok Dalang
Di negeri Kedah terdapat banyak kumpulan wayang kulit yang bergiat aktif dalam Wayang Gedek. Antara kumpulan yang terkenal di negeri Kedah yang adalah Kumpulan Wayang Kulit Sri Asun. Dalang pertama dalam Kumpulan Wayang Kulit Sri Asun adalah Mohd Noh bin Mahmud atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Noh. Pada usia lingkungan enam belas tahun, Pak Noh dikatakan sering meniru tingkah laku seorang dalang semasa mengadakan persembahan wayang kulit. Akibatnya Pak Noh telah mendapat satu penyakit yang hanya dapat disembuhkan oleh seorang dalang iaitu Den Choon yang merupakan ketua sebuah kumpulan wayang kulit yang berasal dari Selatan Thailand. Setelah Pak Noh sembuh dari penyakitnya, maka Den Choon pun menjadikan beliau sebagai anak angkat dan lalu menurunkan segala ilmu pendalangannya kepada Pak Noh.
            Semasa proses pembelajaran, Pak Noh diajarkan ilmu pendalangan Siam. Pak Noh terpaksa mempelajari semua epik-epik Thailand, jampi mentera, pantang larang, lagu-lagu dan semuanya dalam bahasa Thailand. Pak Noh mengambil masa 10 tahun untuk mempelajarinya dan diberi kepercayaan untuk mengadakan persembahan wayang kulitnya sendiri.
            KiniPak Noh telah meninggal dunia dan digantikan oleh anaknya iaitu Pak Majid. Pak Majid menjadi Tok Dalang kepada Kumpulan Seri Asun sehingga ke hari ini. Pak Majid telah mempelajari ilmu pendalangan oleh ayahnya iaitu Pak Noh selama 16 tahun. Dalam tempoh tersebut Pak Majid telah berjaya memahami segala aspek dan istiadatnya serta yakin untuk mencipta semula satu bentuk persembahan dengan menggunakan sepenuhnya Bahasa Melayu. Pak Majid yakin mempersembahkan watak-watak yang lebih mencabar dengan unsur-unsur lucu dan sindiran yang membina dan menghiburkan.
            Menurut Pak Majid, Wayang Gedek ini adalah satu warisan seni yang mempunyai adat dan kebudayaanya tersendiri. Dalam penyempurnaan adat dan penerimaan watikah perlantikan dalang dari ayahnya beberapa syarat perlu diikut antaranya memerlukan seekor ayan jantan, kampung berwarna putih, sepinggan pulut kunyit, seutas lilin pintal benang masak, sintok, air buyung, kuih tradisi merah atau kuih buah melaka beserta duit sebanyak RM2.15. Dalam istiadat itu juga disertai oleh lima orang pemuziknya bersewrta dengan seekor ayam yang serupa. Jampi dan doa juga diadakan sebagai tanda kesyukuran dalam majlis penyerahan tugas seorang dalang ini.

d) Jampi Mentera 
Mentera memainkan peranan penting dan seseorang dalang mestilah mahir dalam aspek tersebut. Perkataan mentera adalah berasal daripada perkataan Sanskrit iaitu mantra. Jampi mentera boleh didefinisikan sebagai rangkaian kata-kata ataupiun pemujaan yang diucapkan oleh dalang yang mempunyai tujuan yang tertentu. Kadang-kala bahasa yang digunakan juga tidak difahami oleh penduduk tempatan. Jampi mentera ini juga selalunya dikaitakan dengan sesuatu kuasa mistik bagi melakukan sesuatu pekerjaan.
            Dalam persembahan wayang kulit dapat dilihat dengan jelas penggunaan jampi mentera ini terutamanya pada masa 'pembukaan panggung'. Bagi kumpulan Wayang Kulit Sri Asun kita dapat lihat penggunaan Bahasa Thai di dalam upacara jampi mentera ini. Hal ini adalah kerana asas pendalangan yang dipelajari oleh Pak Noh adalah secara terus dari dalang Thai. Jampi mentera ini adalah seperti berikut:-

Ohm naku chacha lakowatu
Naka chak bai chak chu cha cha
Ohm naku chachalakowatu
Naka chak bai chak chu cha cha
Om naku naka cha cha o bai
Om naku naka cha cha o bai
Jalalau musang raiku pai klai-klai
Passa mai nyai

Terjemahanya:
Muka engakau aku kibaskan dengan daun
Daun menjadi pelindung antara mukaku dengan mukamu
Pergilah engkau jauh-jauh
Bangsa engkau bukanlah besar


e) Patung Wayang Gedek dan Watak
Patung merupakan aspek penting dalam setiap persembahan wayang kulit. Ianya berbentuk dua demensi yang diperbuat daripada kulit-kulit binatang seperti kulit lembu, kambing dan kerbau. Patung ini ada diantaranya yang dibuat sendiri oleh dalang ataupun dibeli dari Thailand. Patung ini diukir halus dan diwarnakan mengikut watak didalam sesebuah cerita yang dipersembahkan oleh seseorang dalang. Dalam pembuatan patung Wayang Gedek kepakaran yang tinggi dan ketelitian amat diperlukan kerana ianya adalah nilai seni jelas kelihatan pada patung yang dihasilkan. Terdapat pantang larang dalam proses penghasilan Wayang Gedek terutamanya terhadap isteri dalang itu sendiri. Dipercayai, semasa penghasilan patung, isteri dalang mestilah tidak hamil. Ini kerana, jika isteri dalang hamil, amak dipercayai suatu perkara buruk akan menimpa keluarga dalang tersebut terutamanya pada anak yang bakal lahir itu. Walaupun aspek bertentangan dengan ajaran Islam tetapi ianya dituruti oleh dalang kerana tidak mahu menanggung risiko.
            Secara keseluruhan, ianya merupakan set yang tersendiri dari berbagai jenis patung yang mempunyai bentuk konvensional dan moden. Walaupun beratus patung di dalam sesebuah kumpulan tetapi ianya masih boleh dibezakan mengikut kategori utama yang telah ditetapkan seperti golongan istana, dewa, hamba dan gergasi. Setiap kategori ini dapat dibezakan berdasarkan susuk badan, perhiasan dan pakaian, warna tubuh badan dan juga senjata yang ada pada watak tertentu.
            Patung Wayang Gedek yang dipersembahkan oleh Kumpulan Wayang Kulit Sri Asun juga terdapat kategori demikian. Kumpulan ini mempunyai lebih dari dua ratus patung dan empat daripadanya adalah warisan dari gurunya. Watak-watak yang menjadi watak utama dalam persembahan Wayang Gedek adalah seperti Ai Tong, Ai Kiew, Dewa Panah dan Mahaguru. Dalam cerita Wayang Gedek terdapat dua pembahagian watak utama iaitu watak jahat dan watak baik. Watak baik terdiri daripada patung-patung yang memegang watak hero dan heroin. Contohnya seperti patung Mahaguru, Dewa Panah, Raja Permaisuri. Watak jahat pula dipegang oleh patung gergasi dan Bota.

f) Peralatan Muzik
Peralatan Muzik merupakan peralatan yang penting dalam persembahan wayang kulit. Dengan menggunakan peralata muzik ini pemuzik akan memainkan lagu untuk mengiringi persembahan wayang kulit. Melodi yang dimainkan bergantung kepada babak atau episod yang terdapat dalam repertoire yang dipersembahkan.
            Berdasarkan melodi yang dimainkan, penonton akan dapat mengetahui sama ada adegan itu adalah adegan perang, sedih, gembira dan lain-lain. Peralatan yang digunakan dalam kumpulan ini lebih tertumpu kepada dua pembahagian yang utama iaitu alat-alat yang ditiup dan alat-alat yang diketuk. Peralatan muzik dalam Kumpulan Wayang Sri Asun ini terdiri daripada alat-alat muzik seperti:-
i.                    Serunai
ii.                  Geduk
iii.                Gedombak
iv.                Kerincing
v.                   Gong
vi.                Tamborin

g) Kesimpulan
Kedudukan negeri Kedah yang bersempadan dengan negara Thailand, menyebabkan pengaruh kebudayaan Siam mudah masuk. Di tambah pula dengan faktor sejarah di mana Kedah pernah dijaajh oleh kerajaan Siam dahulu.
            Pengaruh kebudayaan yang dibawa masuk oleh masyarakat Thai adalah seperti Wayang Gedek, Menohra, Jikey dan Makyung. Di antaranya yang paling ketara yang membawa kebudayaan Thai ialah Wayang Gedek iaitu serupa denga persembahan Nang Talung di Selatan Thailand. Dari aspek persembahan, elemen Siam yang masih dikekalkan dalam Kumpulan Wayang Sri Asun ialah jampi mentera yang bertujuan melindungi ahli kumpulan tersebut. Pengaruh pakaian dan perhiasan pada patung juga jelas terdapat pengaruh kebudayaan Siam.  Bahasa yang digunakan di dalam persembahan Wayang Gedek juga telah mengalami perubahan. Asalnya bahasa penyampaian adalah bahasa Thailand.
            Walau bagaimanapun, persembahan Kumpulan Wayang Kulit Sri Asun sememangnya masih mempunyai persamaan dengan Nang Talung yang terdapat di Selatan Thailand.


3.3  Wayang Kulit Jawa (Purwo)

a) Sejarah
Menurut Andry, et al. (2015), Wayang Kulit Jawa[7] dikatakan berasal dari Wayang Kulit Purwa Jawa, Pulau Jawa, Indonesia. Patung-patungnya membawa watak dari cerita Mahabratha dan cerita-cerita Panji. Wayang kulit ini diperkenalkan ke negeri Kelantan pada 1834 oleh seorang tok dalang Melayu selepas mempelajari teknik-teknik Tok Dalang di Pulau Jawa. Watak wayang kulit ini ialah Sang Kula, Raden Galoh Cendera Kirana, Arjuna, Sang Dewa dan Raden Inu Kartapati. Wayang Purwo pula terdapat di bahagian Selatan Pantai Barat Semenanjung terutamanya di Johor yang mengetengahkan episod dari kitab Mahabrata dan cerita Panji. Pada asasnya kesemua bentuk atau jenis wayang kulit yang terdapat di Semenanjung Malaysia mempunyai pengaruh-pengaruh sama ada dari Jawa atau Patani (Selatan Thai).
            Dalam perkembangannya semua pengaruh ini telah mengalami perubahan dan penyesuaian mengikut penerimaan dan konteks masyarakat tempatan. Perkara ini berlaku adalah kerana wayang kulit pada dasarnya merupakan satu alat perhubungan masyarakat di samping satu rupa pengutaraan kesenian.

b) Pengenalan
Wayang ini terdapat di bahagian Selatan Pantai Barat, terutamanya Johor  dan dimainkan oleh penduduk keturunan Jawa.

c) Isi Cerita
Cerita wayang ini berdasarkan cerita Pendawa Jawa yang disadur dari epic Mahabharata India. Ceritanya tidak memperlihatkan pengaruh cerita panji.

d) Patung-Patung
Patung-patung ini menyerupai patung wayang kulit Kelantan. Manakala perbezaan yang nyata adalah dari segi bentuk mata patung iaitu mempunyai mata jaitan untuk watak pahlawan, mata pepelangan untuk watak jahat dan mata prebes untuk watak pertapa.
e) Alat Muzik 
Alat Muzik wayang purwa berbeza dengan wayang lain kerana terdiri daripada:
                                  i.           Gong besar (gong Agong)
                                ii.          Gong suwukan
                             iii.           Gambang
                              iv.           Kempul
                                v.          Kenong
                              vi.           Gender
                            vii.          Slentem
                         viii.           Demung
                              ix.           Saron
                                x.          Peking (saron penerus)
                              xi.           Ketok / kompang
                            xii.          Rebab
                         xiii.           Gendang

            Antara jenis-jenis lagu yang dimainkan pula ialah seperti Lagu Bertabuh, Perang, Seri Rama, Kabar Manja, Buluh Seruas, Pandan Wangi dan banyak lagi. Wayang purwa diiringi oleh satu kumpulan gamelan.

f) Bahasa
Wayang Purwa disampaikan dalam bahasa Jawa dan diselit dengan bahasa Melayu tempatan.


3.4 Wayang Kulit Kelantan

a) Pengenalan
Menurut Mohd Kipli Abdul Rahman, Nazarudin Zainun dan Rahimah A. Hamid (2013), Wayang Kulit Melayu Kelantan[8] dikatakan berasal dari Kemboja dan dibawa masuk melalui Patani, Selatan Thailand. Seorang dalang perempuan berbangsa Thai bernama Mak Eghak adalah di anggap orang yang pertama mendalang dalam wayang jenis ini di Kelantan.

b) Isi Cerita
Wayang Kulit Kelantan ini juga di kenali sebagai wayang siam, kerana negeri Kelantan pada suatu masa dulu di bawah naungan Patani dan Patani ini dipercayai menjadi pusat kesenian yang terdapat makyung, menorah dan wayang kulit. Cerita wayang kulit Kelantan kebanyakannya adalah saduran dari epik Ramayana versi Thai.

c) Bentuk Patung dan Watak
Patung-patung wayangnya juga terutama patung Sri Rama dan Laksemana adalah lebih mirip ke arah pakaian tradisional orang selatan Thai. Itulah juga makanya wayang tersebut di sebut sebagai wayang siam.
            Pembuatan patung watak wayang kulit seperti watak asas wayang kulit dibuat daripada belulang lembu. Terlebih dahulu belulang direndam dalam air sebelum diregang supaya kulitnya rata. Watak dilukis terlebih dahulu kemudian ia dipahat supaya lubang-lubang terbentuk untuk menghasilkan corak bayang di atas kelir (skrin) kelak.
            Patung belulang kemudian dikepit pada tetulang yang daripada buluh atau kayu, bahagian atasnya dikepit menggunakan rotan yang dibelah. Tali tangsi digunakan untuk mengikat tetulang pada belulang.

d) Alat Muzik
Alat-alat muzik yang digunakan dalam permainan wayang kulit Kelantan ini ialah:- 

  1. Tetawak (gong) - 2 biji (ibu dan anak)
  2. Canang - 1 pasang (ibu dan anak)
  3. Kesi - 2 pasang (penahan dan pengicah)
  4. Gedang- 2 biji (ibu dan anak)
  5. Geduk - 2 biji (ibu dan anak)
  6. Gedombak - 2 biji (Peningkah dan pembawa)
  7.  Mong - 1 biji (Sebagai alat tambahan sahaja, bagaimana pun mustahak juga jika di kehendaki memainkan lagu-lagu tertentu)
viii.  Serunai - 2 batang (Serunai besar dan serunai nyanyi)
ix.    Pemetek - 1 buah (Alat ini diguna sebagai mengganti suara perintah dalang dan sebagai alat bantu kesan bunyi)

e) Bahasa
Bahasa pengantar dalam teater tradisional ini ialah dialek Melayu Kelantan yang mempamerkan pengaruh Patani.





Kesimpulannya, Wayang Kulit merupakan sejenis teater tradisional yang popular dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara sebelum kedatangan pelbagai seni hiburan dan persembahan moden yang kebanyakannya berasaskan media elektronik. Ia merupakan satu bentuk persembahan teater yang menggunakan prinsip cahaya dan bayang. Bayang-bayang daripada patung-patung kulit yang terdiri daripada pelbagai watak methologi dan khayalan dimainkan oleh seorang Dalang. Persembahan Wayang Kulit selalunya diiringi oleh satu kumpulan muzik paluan dan juga alat tiupan.

            Selain itu, "persamaan" dan "perbezaan" wayang kulit khususnya bagi empat jenis wayang kulit yang telah dibincangkan sebelum ini dapat dilihat berdasarkan kepada beberapa ciri utama wayang kulit itu sendiri seperti asal usul, isi cerita, bahasa yang digunakan, bentuk patung (watak) dan alat muzik yang digunakan dalam persembahan wayang kulit tersebut.

            Seterusnya, selain menjadi satu hiburan, wayang kulit juga berfungsi untuk menyalurkan nasihat melalui cerita dan lakonan yang dipersembahkan. Banyak pengajaran dan teladan dapat disampaikan kepada masyarakat. Persembahan wayang kulit Melayu telah lama bertapak dalam masyarakat Melayu sehinggakan ia telah menjadi warisan budaya bangsa. Wayang kulit yang dikatakan bertapak lebih 250 tahun lalu merupakan sejenis persembahan teater rakyat menggunakan bayang de­ngan iringan muzik tradi­sional yang bertujuan untuk menghiburkan orang ramai.







BIBLIOGRAFI

‘Ainu Sham Ramli dan Mohd. Azmi Ibrahim (1996). Wayang Kulit : Warisan Teater Melayu. Kuala Lumpur : Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Andry, et al. (2015). Wayang dan Topeng : Tradisi Menjadi Seni. Jakarta : PT Tempo Inti Media TBK.
Hassan Othman (2004). Wayang Gedek : Warisan Kesenian Melayu. Kuala Lumpur : Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.
Mohd Kipli Abdul Rahman, Nazarudin Zainun dan Rahimah A. Hamid (2013). Meneliti Kosmologi dan Adat Istiadat. Pulau Pinang : Universiti Sains Malaysia.
Museum Basoeki Abdullah (2008). Koleksi Wayang Kulit. Jakarta : Departmen Kebudayaan dan Pariwisata, Direktorat Jenderal Sejarah dan Purbakala.
Rahimidin Zahari (2013). Wayang Kulit : Shadow Play. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.
Umi Abdullah (2013). Wayang Kulit : Siri Mengenal Budaya 1/2013. Kuala Lumpur : Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia.











Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN TEMUDUGA KONSTABEL PDRM

TRIP TO TELUK BATIK