NOVEL INTERLOK



Novel Interlok karya  novel yang dikarang oleh  Sasterawan Negara, Abdullah Hussain. Novel ini dihasilkan oleh Abdullah untuk menyertai Peraduan Mengarang Sepuluh Tahun Merdeka (1967) hasil inisiatif Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana Menteri) dalam satu ucapan makan malam anjuran Persatuan Penulis Nasional di mana novel ini memenangi hadiah sagu hati. Interlok diterbitkan Angkatan Baru untuk pertama kali pada tahun 1971. Kemudiannya ia diterbitkan dalam edisi pelajar pada tahun 2006 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, edisi khas Sasterawan Negara (2008, DBP) dan edisi murid novel Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (2010, DBP).

            Menurut Sahlan Mohd. Saman (1994), berbicara tentang kepengarangan dalam suatu dunia sastera bererti berbicara tentang satu unsur dalam proses penciptaan suautu teks sastera[1]. Dalam hal ini, pengarang difahami sebagai manusia yang menyebabkan lahirnya teks sebagai ciptaan sastera seperti mana yang diciptakan oleh Abdullah Hussain ini. Novel ini mengisahkan pancaroba dan persepaduan sesama kaum di Tanah Melayu ketika zaman penjajahan British pada separuh awal abad ke-20, dan sumbangan mereka kepada negara Malaysia yang merdeka. Akan tetapi, novel ini dilanda kontroversi, lebih-lebih lagi apabila dipilih sebagai bahan bacaan wajib Komponen Sastera Bahasa Melayu Tingkatan Lima di Kuala Lumpur, PutrajayaSelangor dan Negeri Sembilan pada tahun 2011 kerana sesetengah golongan India tersinggung oleh unsur sistem kasta dalam masyarakat India serta menjadi kontroversi berkenaan dengan hubungan sesama kaum di Malaysia. Hal ini kerana isi kandungannya didakwa mengandungi anasir-anasir yang boleh menyinggung sensitiviti sesama kaum di Malaysia.

            Isu ini nampaknya mendapat perhatian terbesar dari masyarakat India di Malaysia, tetapi tindakan memilih novel ini juga menerima bantahan dari orang Melayu dan Cina. Kongres India Malaysia turut memujuk kerajaan supaya menggugurkan novel itu sahaja daripada sukatan pelajaran. Sehubungan dengan itu, Kementerian Pelajaran pada mulanya menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menilai sama ada buku itu boleh digunakan lagi sebagai komponen sastera. Apabila buku itu tetap diluluskan oleh jawatankuasa itu pada Januari 2011, bantahan terhadap buku itu semakin kuat dan menjadi-jadi, sehingga mencetuskan tunjuk perasaan di jalanan.

            Tetap dengan pendirian untuk mengharuskan penggunaan novel Interlok, Kementerian Pelajaran melantik sebuah panel yang dianggotai oleh pelbagai kaum untuk menyunting isi kandungan supaya tidak menyinggung perasaan sesama kaum. Tindakan itu dibantah oleh Persatuan Penulis Nasional dan beberapa pertubuhan sasterawan yang lain yang menyifatkannya sebagai bentuk penapisan yang boleh menggugat kebebasan ekspresi pengkarya. Hal ini kerana menurut Jelani Harun (2007), kesusasteraan adalah berasaskan kepada nilai seni dan nilai kemanusiaan yang tinggi[2]. Justeru, walau apa pun keadaan dan apa juga bentuk ruang, ia harus kembali kepada dasar ketinggian nilai-nilai seni dan kemanusiaan.



2.0  SEJARAH

Penggunaan novel Interlok dalam Komponen Sastera Bahasa Malaysia Tingkatan Lima mendapat tentangan hebat sejak tahun 2011 membuka tirai, khususnya daripada masyarakat berketurunan India di Malaysia yang diwakili oleh pelbagai pertubuhan. Mula-mula, Kongres India Malaysia (MIC) menggesa supaya menarik balik buku itu atau menggugurkan isi-isi kandungan yang menyentuh sistem kasta dalam buku itu, ataupun sekurang-kurangnya perkataan "pariah" digugurkan sahaja. Presiden MIC pada masa itu, G. Palanivel, menggesa penarikan buku itu kerana tidak sejajar dengan semangat 1MalaysiaParti Progresif Penduduk, sebuah lagi parti komponen Barisan Nasional yang banyak dianggotai oleh kaum India, turut membuat tuntutan supaya buku itu ditarik balik.

            Biro Pengaduan Awam (BPA) mendapat 27 aduan daripada masyarakat India yang tidak puas hati dengan novel itu. Selepas bertemu dengan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta Kementerian Pelajaran, mereka bersetuju membawa usul kepada Menteri Pelajaran agar mempertimbangkan sama ada unsur sensitif itu dibuang atau mengharamkan novel itu. Oleh itu, Menteri Pelajaran MalaysiaTan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan penubuhan sebuah Jawatankuasa Khas Kementerian Pelajaran untuk mengkaji semula penggunaan novel Interlok itu pada 6 Januari 2011, sama ada buku itu harus ditarik balik atau dikekalkan dengan pindaan. Pada 27 Januari, diumumkan bahawa novel Interlok kekal sebagai buku teks komponen sastera Tingkatan Lima, tetapi dengan beberapa pindaan terhadap kandungan yang didapati menyinggung itu. Sebuah panel bebas ditubuhkan pada 16 Februari untuk mengkaji dan membuat usul pemindaan kandungan Interlok dalam masa sebulan. Pada 8 Januari 2011, kira-kira 100 penduduk di Klang membakar poster novel Interlok dan gambar Abdullah Hussain. Turut hadir dalam demonstrasi itu ialah Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Mariah Mahmud dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam ShahM. Manoharan.

            Persatuan Penulis Nasional (Pena) menerusi Setiausaha Agungnya, S. M. Zakir bimbang dengan polemik itu. Pada 8 Januari 2011, di rumah Pena, Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad menyatakan Pena kekal dengan pendirian untuk tidak bersetuju dengan sebarang pindaan terhadap novel itu. Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Md Salleh Yaapar; Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid dan Pengerusi Majlis Permuafakatan PIBG Nasional, Prof Madya Dr Datuk Mohamad Ali HassanGapena juga pada umumnya tidak setuju dengan pindaan dan menyokong kebebasan pengarang untuk menulis novel.

            Keputusan mengekalkan penggunaan novel Interlok dibantah kuat oleh ramai dari golongan India, umumnya atas sebab bahawa kaum India digambarkan dengan sifat-sifat negatif dalam buku ini. Sebaik sahaja panel pemindaan novel Interlok diumumkan, Persatuan Hindu Sangam Malaysia mula-mula meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan itu. Wakil-wakil rakyat yang berketurunan India menerima gesaan supaya memulaukan panel itu. Antara yang terus membuat tuntutan supaya buku Interlok ditarik balik ialah segugusan lebih 200 pertubuhan bukan kerajaan yang bergabung di bawah nama Pasukan Bertindak Interlok Kebangsaan (National Interlok Action Team, NIAT), yang mengugut bahawa mereka akan mengantarabangsakan isu Interlok sekiranya Kementerian Pelajaran enggan menarik balik novel itu.
            Menyusuri serba sedikit perjalanan hidup pengarang novel yang penuh kontroversi ini iaitu Sasterawan Negara (SN) Dato’ Abdullah Bin Hussain. Beliau dilahirkan pada 25 Mac 1920 di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah Darul Aman. Pada tahun 1926, beliau mula belajar di Sekolah Melayu Sungai Limau dan lulus darjah 5 pada tahun 1931. Beliau meneruskan pendidikannya di Sekolah St. Micheal, Alor Setar, Kedah Darul Aman dari tahun 1932 hingga 1933. Pada tahun 1935, beliau telah meneruskan pengajian di Anglo Chinese School, Alor Setar, Kedah Darul Aman hingga lulus darjah 7. Semasa pendudukan Jepun pada tahun 1943, beliau dihantar ke Singapura untuk menjalani kursus pentadbiran di Syonan Koa Kunrenzo (Sekolah Latihan Pegawai-pegawai Tinggi) selama tiga bulan. Pada tahun 1939, beliau telah berkhidmat sebagai penolong penjaga stor di perusahaan lombong bijih di Pahang dan pernah berkhidmat di bahagian penerbitan, syarikat surat khabar Sahabat, di Pulau Pinang. Pada tahun 1940, beliau berkhidmat di Pulau Pinang sebagai pembantu pengarang surat khabar Saudara dan padatahun 1941 pula (sehingga kedatangan tentera Jepun), beliau berkhidmat di Sungai Petani, Kedah sebagai kerani dan tukang dobi di kem tentera Inggeris. Beliau juga pernah menjadi wartawan surat khabar Merdeka, Berita Indonesia dan majalah minggu Merdeka. Beliau juga pernah bertugas sebagai pengarang majalah Bintang dan Filem. Beliau juga pernah menjadi pengurus penerbitan di majalah Gelanggang Filem. Dalam filem Hang Tuah, beliau pernah bertugas sebagai penasihat teknik. Pada tahun 1961 hingga 1964, beliau telah berkhidmat sebagai pembantu pengarang kanan di Oxford University Press dan pernah berkhidmat di Franklin Books Programme dan memegang jawatan editor di majalah Angkatan Baru pada tahun 1965 hingga 1968.

            Selama 10 tahun mulai tahun 1968, beliau telah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pegawai penyelidik. Seterusnya, pada tahun 1978, beliau telah berkhidmat sebagai ketua unit bahasa dan sastera di DBP cawangan Sabah sehingga tahun 1979. Sehingga tahun 1981, beliau berkhidmat sebagai ahli cipta di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Pada tahun 1982 pula, beliau berkhidmat di DBP Brunie Darussalam sebagai ketua bahagian pembinaan dan pengembangan sastera. Pada tahun 1993, beliau berkhidmat sebagai Karyawan Tamu DBP sehingga tahun 1996. Abdullah Hussain dinobatkan sebagai SN yang kelapan pada tahun 1996. Selain penganugerahan SN, beliau telah dianugerahkan pingat Jasa Hukom Ngon Adat Lembaga Adat KebudayaanAceh (LAKA) pada tahun 1995 dan Darjah Kebesaran Dato’ Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Dato’. Pada tahun 1996, beliau dianugerahkan Darjah Kebesaran Panglima Jasa Negara (PJN) yang juga membawa gelaran dato’ oleh Yang di-Pertuan Agong.

            Secara ringkasnya, penceritaan di dalam novel Interlok ini berkisar di dalam negeri Pulau Pinang pada awal 1900-an semasa pemerintahan Britain ke atas Malaya. Novel ini diceritakan daripada kaca mata tiga karakter, dinamakan, Seman, Chin Huat dan Maniam. Tajuk buku ini berasal dari perkataan Inggeris iaitu "interlock" yang berhubungkait dengan memanca kehidupan tiga karakter utama di dalam novel pada bab akhir.

            Penceritaan novel ini berkisar tentang Maniam yang sudah meninggalkan isteri dan anaknya 21 tahun dahulunya, didatangi oleh Seman, anak kepada kawan lamanya yang mencari tempat tinggal dan pekerjaan di sekitar kebun getah Maniam setelah dihalau oleh Cing Huat, si "Cina Panjang" yang merampas tanahnya di Kampung Nyiur Condong. Yew Seng yang baru dihalau dari rumah setelah lama bersengketa dengan bapanya, Cing Huat tentang hubungannya dengan orang Melayu, khususnya Lazim, nekad untuk menjadi kuli lombong dekat Cangkat Janggus; di sinilah dia mengenali Kong Beng selaku kepala kuli di situ.

            Seman pulang ke kampung halaman yang ditinggalkannya dua tahun setengah, lalu mendapati bahawa kekasih lamanya, Upik sudah berkahwin dengan Lazim, tetapi tidak putus asa dan meminta pertolongan Lebai Man untuk mewakilinya bagi merisik Gayah, anak Mat Ranggi pula. Mat Ranggi mula-mula tidak menerima hasrat Seman itu, tetapi akhirnya dia bersetuju setelah mengakui bahawa dia terlalu mementingkan harta benda selama ini. Sebaik sahaja berkahwin dengan Gayah, Seman memberitahu Maniam bahawa dia mahu berhenti kerja kerana hendak pulang ke kampung itu untuk berumah tangga.

            Dengan ketibaan penjajah Jepun, seluruh Tanah Melayu hidup dalam ketakutan, khususnya kaum Cina yang bertelagah dengan bangsa Jepun di rantauan dan sering diancam balas dendam Melayu ketika berniaga. Apabila kedai Cing Huat dirompak pada suatu malam, isteri dan anak perempuannya hilang, tetapi dia berjaya diselamatkan oleh Seman yang membawa mereka berlindung di rumah pekerja di kebun Cangkat Janggus. Pada suatu hari, Cing Huat disoal oleh tentera Jepun mengenai Yew Seng yang didakwa menyertai pemberontak komunis pimpinan Kong Beng. Secara senyap-senyap, Yew Seng balik ke rumahnya pada suatu malam lalu berjanji kepada bapanya untuk mencari Poh Eng yang hilang. Yew Seng berjaya berbuat demikian, pada malam yang sama kejadian penculikan pengurus ladang Jepun berlaku.

            Kehilangan pengurus itu menyebabkan Maniam, Mak Limah dan beberapa orang kuli dari kebun Cangkat Janggus ditangkap lalu diseksa oleh tentera Jepun. Mujurlah, Maniam dibebaskan oleh anaknya sendiri iaitu Inspektor Ramakrisynan yang bertugas di situ, lantas meminta bantuan daripada anaknya itu supaya membebaskan Mak Limah. Cing Huat pula naik berang apabila mengetahui Seman dan Mak Limah yang menyembunyikan Poh Eng selama ini. Zaman Jepun mendatangkan keperitan hebat kepada para petani yang dipaksa menjual hasil tani dengan harga murah kepada pihak penjajah susah sambil menerima serangan komunis yang datang membunuh pengurus ladang itu. Lazim turut ditangkap oleh kerajaan penjajah kerana menghasut orang kampung supaya jangan menjual padi mereka kepada Jepun.

            Setelah Jepun berundur, British kembali ke Tanah Melayu lalu berdepan dengan pemberontak komunis yang semakin mengganas dan bertindak dengan kejam terhadap orang putih dan juga rakyat Tanah Melayu, termasuk mengambil alih balai polis dan menangkap Inspektor Ramakrisynan kerana didakwa bersekongkol dengan Jepun. Namun begitu, Yew Seng berjumpa dengan Lazim yang secara kebetulannya ditahan di balai polis itu, lalu terus membebaskan kawannya itu. Lazim, bersama Mail Jambul dan Berahim mengajak orang-orang Melayu agar bersatu padu dan menentang gagasan Malayan Union yang hendak diperkenalkan oleh British. Kemudian, darurat diisytiharkan disebabkan ancaman puak komunis terhadap penjajah British dengan melumpuhkan ekonomi jajahan ini terlebih dahulu dalam langkah membebaskan negara.

            Yew Seng dan Kong Beng kembali berjuang bersama komunis, dan terlibat dalam operasi menyerang hartanah pertanian milik orang putih dan membunuh pemilik-pemiliknya. Cing Huat telah dilantik sebagai pengerusi persatuan orang Cina di tempat tinggalnya demi membersihkan nama orang Cina akibat dakyah komunis serta memperjuangkan kebajikan kaum Cina. Kaum India juga mempunyai pertubuhan yang sedemikian itu, dipimpin oleh seorang guru bernama Raman yang pernah bertugas di kebun Cangkat Lima. Maniam diculik oleh segerombolan komunis lalu hampir dibunuh, mujurnya dia diselamatkan oleh Poh Eng sementara pasukan keselamatan pimpinan Inspektor Ramakrisynan berjaya menumpaskan gerombolan pengganas komunis itu yang dianggotai oleh Yew Seng.

            Yew Seng dan Poh Eng menginsafi perjuangan mereka yang sia-sia selama ini kerana tidak menyangka Kong Beng ialah anggota pengganas komunis yang anti-Inggeris, anti-Jepun, dan antipenjajah. Penduduk pekan Simpang Empat pula berasa gembira kerana tidak lama lagi Tanah Melayu akan merdeka dan mereka hendak menyaksikan perayaan kemerdekaan yang akan berlangsung selama tiga hari dan tiga malam. Seman dan isterinya Gayah, Yew Seng, Lazim, Mamat Labu, Pak Haji Man, Ah Hock, dan Raman merayakan kemerdekaan negara di Kuala Lumpur. Inspektor Ramakrisynan pula menjemput mereka datang ke rumahnya kerana Maniam hendak berjumpa dengan mereka.


3.0 FAKTOR-FAKTOR MENYEBABKAN BERLAKUNYA BANTAHAN TERHADAP NOVEL INTERLOK

Pemilihan novel Interlok sebagai bacaan komponen sastera Tingkatan Lima untuk "Zon 2" (Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan) menerima bantahan hebat dari sesetengah masyarakat bukan Melayu di Malaysia yang tidak puas hati kerana mendakwa bahawa buku ini menggambarkan kaum bukan Melayu dengan perihal-perihal yang berbau stereotaip negatif dan dikhuatiri boleh mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga meruntuhkan perpaduan sesama kaum di Malaysia.

            Novel Interlok menerima tentangan paling hebat dari pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum India di Malaysia atas keluhan bahawa isi kandungannya ada kata-kata persendaan dan ungkapan stereotaip yang memaksudkan golongan India. Salah satu unsur yang mendapat perhatian terbanyak berkenaan dengan golongan India ialah terungkitnya istilah "paria" iaitu pangkat terendah dalam sistem kasta yang diamalkan oleh tamadun India pada zaman silam, dalam beberapa muka surat buku ini. Sesetengah isi dalam novel ini menggambarkan orang India sebagai "kotor" dan "tidak pandai menjadi suami". Oleh itu, novel ini dibantah kerana dikhuatiri boleh mempengaruhi anak muda bukan India untuk memandang hina masyarakat India. Dikhuatiri juga semangat 1Malaysia akan luntur jika novel ini diharuskan.

            Selain daripada isu penggunaan kata-kata yang menyinggung perasaan kaum India dalam novel Interlok juga dikaitkan dengan bantahan daripada kaum bukan Melayu yang lain. Bukan sahaja golongan India yang membantah novel Interlok sebagai bahan komponen sastera, malah novel ini turut menerima tentangan dari sesetengah golongan Cina. Tindakan penggunaan novel Interlok dianggap sebagai salah satu cara parti berasaskan kaum seperti UMNO untuk menyebarkan agenda politiknya yang boleh memecahbelahkan perpaduan sesama kaum, dengan memilih buku yang mencerminkan kaum Cina sebagai kaum pendatang yang "tamak dan penipu". Menurut Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. (1997), apa yang kita katakana apabila berkomunikasi adalah hasil bagaimana kita membaca dan memahami orang dan benda di sekeliling kita[3]. Sebarang kesilapan dalam kita memahami perkara ini bukan sahaja akan menghalang komunikasi yang berkesan tetapi akan menimbulkan pertengkaran. Justeru, terdapat pihak yang menyeru supaya buku yang berisi "stereotaip yang menyinggung perasaan kaum minoriti" itu digugurkan serta-merta.

            Bantahan kaum India dan Cina terhadap penggunaan novel Interlok juga menerima reaksi serba kehairanan dari golongan Melayu yang tertanya-tanya mengapa hanya baru-baru ini kedengaran tentangan sedangkan buku ini sudah wujud di pasaran selama sekitar 40 tahun, walaupun ada juga orang Melayu yang membantah penggunaan buku ini dalam komponen sastera. Terdapat pertubuhan bukan kerajaan yang mewakili orang India juga mengatakan bahawa novel Interlok tidak boleh dipandang sebagai permasalahan orang India sahaja kerana ia mengandungi unsur-unsur yang menghina ketiga-tiga kaum Melayu, Cina dan India sekali.

            Seterusnya, faktor bantahan novel Interlok kerana kandungannya merakamkan hakikat kedatangan imigran dari India dan China pada sejarah negara ini peringkat moden, iaitu 1900-an sebagai golongan pekerja selepas kedatangan awal dari kasta Brahmana yang membangunkan kuil di Angkor Wat, Kemboja; Borobudurdi Jawa Tengah, Indonesia dan Langkasuka di Tanah Melayu. Realiti kasta di India sebenarnya diperincikan dalam banyak karya dan novel Interlok sendiri memaparkan kisah golongan miskin ini tetapi menerima pelbagai kontroversi disebabkan oleh konsep pariah yang juga digambarkan dalam novel ini.

            Tidak ketinggalan juga dalam pembantahan novel Interlok adalah Parti Hak Asasi Manusia yang mengadakan tunjuk perasaan serentak di Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Negeri Sembilan pada 13 Februari 2011, yang menyaksikan seramai 58 orang ditahan. Hal ini disusuli oleh tunjuk perasaan anjuran HINDRAF pada 26 Februari 2011, di sekitar perkarangan KLCC yang bertujuan bukan sahaja untuk membantah novel itu, bahkan mengecam pemerintahan UMNO yang 'rasis'. Pada 29 Disember 2010, Kongres India Malaysia (MIC) meminta supaya Edisi Pelajar Interlok disunting isi kandungannya. Timbalan Presidennya, Datuk Dr. S. Subramaniam mengujar, “Oleh itu, saya takut bahawa jika tiada perubahan dibuat kepada kandungan yang ada di dalam buku itu, ia akan memberi satu pandangan salah kepada pelajar yang akan menggunakan buku itu. Ia akan diajar kepada semua pelajar tanpa mengira bangsa. Hal ini akan mengurangkan pemahaman mereka tentang apa yang sebenarnya berlaku dalam kalangan masyarakat India pada masa sekarang.” Hasilnya, pada 15 Januari 2011, Interlok telah dikeluarkan dari silibus berikutan satu perbincaangan di antara Kementerian Pelajaran Malaysia dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, namun ditarik balik pada 28 Januari 2011 berikutan satu perbincangan di antara Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak, presiden MIC, G. Palanivel dan timbalan presiden MIC, S. Subramaniam serta Timbalan Perdana Menteri MalaysiaTan Sri Muhyiddin Yassin.

            Pada 20 Januari 2011, 9 lelaki dipercayai ahli HINDRAF, telah ditangkap oleh Malaysia setelah meletakkan poster-poster yang menggesa novel ini diharamkan. Pada 27 Januari 2010, Menteri Pelajaran MalaysiaTan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa buku novel Interlok kekal dalam komponen sastera Tingkatan Lima dengan sedikit perubahan kepada kandungan yang menyinggung perasaan kaum India, serta mengumumkan bahawa sebuah panel bebas ditubuhkan untuk menyediakan usul untuk meminda kandungan novel itu. Pada 27 Februari 2011 satu demonstrasi haram telah diadakan dan dianjurkan oleh HINDRAF yang menentang kemasukan novel ini di dalam kurikulum sekolah di Kuala Lumpur, 109 yang terlibat ditangkap. Pada 17 Mac 2011, sumber berita menyiarkan bahawa panel khas Interlok itu gagal menyelesaikan tugasnya dan didakwa sudah bubar pada 4 Mac, apabila tiga orang ahli berketurunan India menarik diri daripada panel tersebut.

            Di samping itu, bantahan terhadap novel Interlok kerana terdapat wakil-wakil India yang telah mencadangkan supaya 106 perkara dipinda dalam novel itu, tetapi pada awalnya, Kementerian Pelajaran hanya menerima 19 pindaan tersebut, termasuk pengguguran perkataan “pariah”, tiga perkara yang menyentuh sistem kasta, dan ungkapan “orang berkulit hitam”; penukaran istilah “tuhan” kepada “dewa”. Tiga perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai dilaksanakan. Selain itu, semua panel dari wakil-wakil India tersebut bersetuju supaya tujuh perkara disisipkan errata untuk membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India. Dengan pindaan itu, Kementerian Pendidikan tetap dengan pendirian supaya novel Interlok digunakan sebagai bahan bacaan Komsas Tingkatan 5. Tetapi pada Disember 2011, tidak lama sebelum musim persekolahan 2012, kerajaan akhirnya mengumumkan penarikan balik novel Interlok daripada sukatan pelajaran komponen sastera.


4.0  IMPLIKASI NOVEL INTERLOK KEPADA HUBUNGAN ETNIK PADA MASA ITU DAN PADA MASA SEKARANG

Apabila novel Interlok dikeluarkan dalam bentuk Edisi Pelajar untuk Komponen Sastera (Komsas) Bahasa Melayu Tingkatan Lima untuk tahun 2011, timbulnya perbalahan besar apabila sebilangan besar golongan India membantahnya kerana isi kandungannya yang merangkumi unsur-unsur sistem kasta yang menyentuh perasaan mereka, terutamanya petikan bahawa kaum India yang datang menaiki sebuah kapal ke Tanah Melayu terdiri daripada kasta pariah dan pasangan beragama Hindu yang berkahwin dikatakan menyembah Dewa Kama (Dewa Nafsu). Konsep pariah digambarkan dalam kitab Hindu, Manu Smirti yang termasuk perintah mengkasi lelaki kasta rendah yang berani bergaul dengan wanita kasta lebih tinggi.

            Interlok mempunyai banyak pengajaran untuk ditimba dan bukan untuk ditiru pelakuan watak-watak yang negatif. Abdullah sebagai Sasterawan Negara yang kelapan cuba memperlihatkan budaya kehidupan masyarakat sesebuah bangsa yang sebenar. Sebagai contoh, Kim Lock yang pada mulanya begitu rajin bekerja dan akhirnya setelah menjadi kaya, dia mula menjadi tahi candu bersama perempuan simpanannya dan menyerahkan urusan perniagaan kepada anaknya, Cing Huat. Candu dan perempuan simpanan mungkin suatu perkara yang sinonim kepada masyarakat Cina.

            Abdullah juga menggambarkan kegigihan kaum India bekerja di estet getah tetapi terjadi permusuhan sesama mereka sehingga terselit adegan rogol dan bunuh diri. Hal ini juga mungkin satu perkara yang biasa dalam kalangan masyarakat India sepertimana kita tonton di dalam filem Hindustan. Bangsa Melayu pula digambarkan sebagai orang yang suka bergaya dan hidup mewah walaupun kehidupannya yang sebenar adalah papa. Melayu juga sanggup menjual tanah rezab Melayu dengan menjadi orang suruhan kepada bangsa asing.

            Perkara atau peristiwa yang cuba ditonjolkan oleh Abdullah ialah bagaimana masyarakat berbilang bangsa bantu-membantu antara satu sama lain. Contohnya, Seman yang menyembunyikan Poh Eng, anak perempuan Cing Huat dari menjadi mangsa askar Jepun. Seman telah meminta tolong Maniam untuk menjaga Poh Eng dan maknya, Mak Limah. Maniam pula pernah terhutang budi kepada ayah Seman, Musa, pernah menyelamatkan nyawanya. Menurut Kamarudin Haji Husin dan Siti Hajar Haji Abdul Aziz (1998), kita sepatutnya mengakui bahawa seorang pengarang, dengan daya kreativitinya memainkan peranan untuk menggambarkan dunia ini sebagaimana yang diinginkan olehnya[4].

            Di akhir cerita, ditonjolkan bagaimana Poh Eng menyelamatkan Maniam dari ditembak oleh Suppiah. Begitu juga Yew Seng, anak lelaki Cing Huat yang tersalah jalan mengikuti gerakan komunis akhirnya berpatah ke pangkal jalan. Yew Seng yang terkena tembakan juga telah menerima kaki kayu sumbangan dari masyarakat Melayu, Cina, dan India walaupun bapanya mampu untuk membelinya sendiri.

            Pada pendapat saya, novel ini amat menarik dan wajar menjadi buku teks pelajar sekolah menengah. Walaupun ada sesetengah cerita melibatkan perkara negatif seperti candu, perempuan simpanan, rogol, dendam, panggilan kasta paria, meninggalkan isteri tanpa nafkah dan sebagainya tetapi ia tidak seteruk pendedahan yang anak-anak kita dapat dalam akhbar dan televisyen saban hari. Kalau tidak silap saya, hanya 3 kali perkataan paria digunakan. Dan kalaulah itu hakikat kepercayaan orang India terhadap sistem kasta, apa salahnya perkataan itu digunakan? Berbanding dengan agama Islam yang menyamaratakan manusia di seluruh pelusuk dunia tanpa mengira bangsa dan warna kulit kecuali mereka yang bertaqwa, yang dikira paling tinggi dan paling dekat dengan Tuhan. Kalau kita bandingkan apa yang terpapar dalam akhbar sensasi yang menonjolkan isu liwat, penayangan video lucah, pembuangan anak, dan sebagainya, apa yang tertera dalam novel ini jauh lebih ‘decent’.


5.0 ANALISIS ITEM PEMBINAAN KERANGKA KESEPADUAN SOSIAL DI MALAYSIA BERDASARKAN KEPADA NOVEL INTERLOK

Pelbagai cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi bagi menghasilkan teks yang unggul. Hal ini kerana kepelbagaian pengarang akan menyediakan pelbagai pilihan dan membolehkan pengarang membuat pilihan yang terbaik. Pengalaman boleh dikutip melalui peristiwa dalam kehidupan harian, sama ada yang dialami sendiri, melalui pengamatan, pendengaran, bacaan, penyelidikan dan sebagainya. Pengalaman yang pelbagai ini pula menuntut proses penyaringan, pemilihan, dan kesepaduan agar ia dapat mencapai keseimbangan baik dari segi isi, teknik mahupun nilai estetika.

            Menurut Fatimah Binti Daud (1992), ahli sosiologi sering kali bergantung kepada kaedah kuantitatif untuk menghurai corak hubungan sosial, dan untuk membina model-model yang boleh membantu dalam meramal perubahan sosial dan kesannya kepada manusia[5]. Sesetengah ahli sosiologi pula berpendapat kaedah kuantitatif (seperti wawancara terarah, diskusi berkumpulan, dan kaedah etnografi) mampu memberi pemahaman yang lebih mendalam terhadap proses sosial. Cara yang terbaik ialah menggunakan kedua-dua kaedah secara serentak. Keputusan daripada kedua-dua kaedah ini boleh digunakan untuk menguatkan hujah antara satu sama lain. Contohnya, kaedah kuantitatif boleh menghurai corak am sosial, manakala kaedah kualitatif pula boleh membantu dalam memahami bagaimana seseorang individu bergerak balas terhadap perubahan sosial. Teori ini memberi penekanan kepada aspek pengajaran sosial sebagaimana seseorang rakyat atau individu itu seharusnya menjadi anggota masyarakat yang berguna, bertanggungjawab demi kepentingan masyarakat umumnya. Dalam hal ini, pendekatan sosiologi tidak dapat lari dari turut menuntut dan membicarakan tentang pengkarya. Aspek sosiologi pengkarya akan diteliti sama. Sebelum memasuki perbicaraan intrinsik karya, riwayat hidup pengarang termasuk tempat lahir, sosiolisasi, pendidikan, alam sekitar, status sosial, nilai-nilai kehidupan dan sebagainya hendaklah ditinjau terlebih dahulu. Di samping itu juga, pendekatan ini juga menekankan isi karya yang mampu memberi manfaat dalam mendidik masyarakat.

            Interlok novel karya Abdullah Hussain memenangi Hadiah Sagu Hati Peraduan Menulis Novel Sepuluh Tahun Merdeka. Novel ini pertama kali diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1971. Pada tahun 2011 novel ini menjadi teks KOMSAS tingkatan lima untuk zon tengah. Novel ini menjadi kontroversi pada hujung Disember 2011 kerana dikatakan mempunyai perkataan ’paria’ yang menyinggung perasaan kaum India. Perkataan ’paria’ ini terdapat dalam bab Keluarga Maniam, ketika memerihalkan sejarah asal usul dan kedatangan Maniam ke Tanah Melayu. Interlok merupakan sebuah novel sosial. Pengertian novel sosial merujuk novel yang mengangkat perjuangan golongan bawahan ataupun golongan tertindas sama ada menentang golongan yang mempergunakan mereka mahupun perjuangan untuk meningkatkan taraf kehidupan dan status kelas mereka. Pengertian novel sosial mempunyai perbezaan yang sedikit dengan novel masyarakat. Pengertian novel masyarakat lebih kepada bentuk novel yang mengangkat kisah masyarakat secara keseluruhan.
            Interlok menghimpunkan watak daripada golongan bawahan, khususnya golongan pekerja yang berada di Tanah Melayu pada awal abad ke-20 di bawah pentadbiran British. Secara lebih jelas masyarakat pekerja bawahan yang berada dalam lingkaran dunia perindustrian moden, seperti yang terdapat dalam novel sosial Barat yang mengetengahkan golongan bawahan dan pekerja dalam era kebangkitan revolusi perindustrian di Eropah. Golongan bawahan dan pekerja yang digambarkan dalam Interlok berada dalam sistem dan lingkaran ekonomi-politik era perindustrian, yakni golongan buruh yang ditarik dan digunakan tenaga mereka untuk sumber pengeluaran perindustrian.

            Semua watak yang terdapat dalam Interlok berada dalam sistem sosio-ekonomi-politik era perindustrian moden. Dalam novel ini, dapat dilihat watak Seman ialah perwakilan watak bangsa peribumi Melayu daripada golongan masyarakat bawahan yang menetap di kampung. Dalam sistem ekonomi-politik British, tanah jajahan merupakan tempat penyediaan bahan mentah untuk memenuhi keperluan perindustrian di England dan Eropah. Di Tanah Melayu, British memperkenalkan ekonomi moden dalam konteks ruang tenaga buruh dan bahan mentah. Bagi mengekalkan kuasanya terhadap bangsa Melayu sebagai tanah jajahan, British melemahkan keupayaan orang Melayu dari segala segi sehingga melumpuhkan kekuatan orang Melayu, baik fizikal mahupun mental. Orang Melayu menderita kehilangan kuasa politik melalui sistem politik residen British dan kemudian pentadbiran berpusat British, iaitu Malaya British Administration (MBA), yang memecahbelahkan kuasa politik sultan Melayu melalui zaman pengasingan dan pembonekaan yang disebut sebagai political disenfranchisement.

            Ekonomi orang Melayu dilumpuhkan melalui peminggiran ekonomi dan pengasingan orang Melayu daripada kemodenan dari segi sosial. Orang Melayu ditutup peluang atau dipinggirkan dalam mobiliti sosial untuk mengekalkan mereka sebagai petani dan nelayan yang menyediakan logistik seperti bekalan makanan domestik kepada British. Seman mewakili watak orang Melayu yang dilumpuhkan segala-galanya oleh British. Seman watak manusia desa yang tidak berpendidikan, kerana peluang pendidikan yang sangat terbatas disediakan oleh British. Hal itu diburukkan lagi oleh sikap Pak Musa yang menyembunyikan Seman daripada dihantar ke sekolah Melayu. Sikap Pak Musa mewakili sikap orang Melayu yang telah dilumpuhkan jiwa dan fikiran mereka oleh sistem pengasingan dan peminggiran British. Seman muncul sebagai hasil daripada sistem penjajahan British yang berlangsung lebih dari lima dekad. Seman anak muda Melayu yang tidak berpendidikan, terasing daripada kemodenan, dan terpinggir daripada mobiliti sosial dan kekal sebagai sumber pengeluaran bagi keperluan logistik (petani, pekebun dan nelayan) untuk British secara domestik di Tanah Melayu.

            Merujuk kepada watak Chin Huat dalam novel ini pula, Chin Huat muncul sebagai wakil watak golongan pekerja yang ditarik datang ke Tanah Melayu oleh peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh sektor ekonomi perindustrian British, yang berkaitan dengan pengeluaran dan perkhidmatan. Kehidupan miskin keluarga Chin Huat di tanah asal yakni sebuah desa kecil di Tanah Besar China menjadi faktor penolak Kim Lock (bapa Chin Huat) bersama-sama anaknya untuk keluar dari China dan mencuba nasib di Tanah Melayu. Ekonomi sumber perindustrian yang diperkenalkan British di Tanah Melayu menjadi faktor penarik untuk kaum pendatang ke Tanah Melayu. Di Tanah Melayu, lombong bijih timah dibuka, perdagangan eksport-import digiatkan, dan sektor perkhidmatan membuka peluang besar kepada tenaga buruh mahir dan kurang mahir. Sistem kongsi bagi tenaga buruh dari China yang diperkenalkan oleh British sangat buruk. Hal ini membawa orang Cina sebagai buruh dalam keadaan miskin dan kesihatan yang buruk. Dalam persaingan yang sengit penawaran tenaga buruh, orang Cina terperangkap untuk menawarkan tenaga buruh yang termurah sama ada dalam sektor perlombongan milik British mahupun sektor perkhidmatan lain. Ia menawarkan apa yang disebut sebagai ‘survival of the cheapest’.

            Begitu juga yang berlaku kepada kaum India yang datang ke Tanah Melayu oleh faktor penolak dan penarik yang sama. Dalam watak Maniam, digambarkan Maniam dalam bulan Julai 1910 telah belayar bersama mereka yang lain dalam sebuah kapal penumpang yang bertolak meninggalkan Pelabuhan Nagapatam ke Pulau Pinang. Mereka tenaga buruh yang berangkat melalui kangani iaitu wakil yang mencari buruh untuk kebun dan ladang getah di Tanah Melayu. Dalam kapal tersebut, digambarkan terdapat 120 orang penumpang yang datang dari pelbagai daerah di India, iaitu Pondicherry, Pulikat, Madras, Malabar, Kerala dan Hyderabad. Mereka semua bercakap dalam bahasa Tamil, walau ada yang bercakap dalam bahasa Malayali dan Telugu, iaitu bahasa dalam rumpun bahasa Tamil, yakni rumpun bangsa Dravida. Dalam pada itu, digambarkan bahawa semua yang berada dalam kapal bersama-sama Maniam pada ketika itu tergolong dalam kasta yang sama, yakni kasta paria.

            Kasta paria merupakan kasta rendah di India yang tersisih akibat sistem kasta yang diamalkan di India. Secara sosiologi, mereka mewakili golongan bawahan yang tertindas di negara mereka sendiri, dan ini salah satu faktor penolak yang penting dalam konteks kedatangan golongan pekerja dari India ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20. Namun begitu, tidak semua kaum India yang datang ke Tanah Melayu daripada kasta Paria. Hal ini digambarkan dalam Interlok; terdapat pekedai berkasta tinggi di Pulau Pinang ketika Maniam datang membeli dan melihat tiada amalan penyisihan berdasarkan kasta berlaku di Tanah Melayu. Maniam watak yang diangkat sebagai perwakilan golongan pekerja bawahan yang tertindas oleh sistem ekonomi-politik British di Tanah Melayu ketika itu. Watak Maniam daripada kasta rendah ini diangkat sebagai subjek sosiologi dan diberi fokus utama dalam menggambarkan perjuangan dan mobiliti sosial yang berlaku terhadap kaum India dalam sistem ekonomi-politik British pada awal abad ke-20.

            Maniam bukanlah kenyataan daripada keseluruhan kaum India yang datang ke Tanah Melayu pada ketika itu, tetapi hanyalah watak tipa dalam sebuah novel sosial yang mengangkat ideologi sosial perjuangan golongan bawahan. Orang India yang dibawa masuk untuk bekerja sebagai buruh dalam sektor ekonomi British juga dibawa dalam kemiskinan dan kesihatan yang buruk. Mereka hidup dalam sistem kangani yang menyaksikan mereka diperas oleh elit pekerja daripada golongan mereka sendiri. Dalam sistem kangani yang diperkenalkan oleh British ini orang India yang datang sebagai buruh hidup yang disebut sebagai ‘internal colonisation’, yakni mengalami penjajahan dalaman dan akhirnya hidup tanpa harapan untuk melebihi apa-apa yang ada pada mereka.

            Dalam melaksanakan dasar pecah dan perintah, British menemui peluang besar dalam memastikan kekuasaan mereka terus dikekalkan melalui suasana sosial yang hadir pada awal abad ke-20 ini. Kewujudan dua kaum pendatang yang besar populasinya di Tanah Melayu dilihat dapat dieksploitasi bagi mengimbangi kedudukan orang Melayu sebagai masyarakat peribumi yang berpotensi mencabar kekuasaan British. British mengambil peluang daripada suasana sosial masa ini untuk menanamkan perasaan curiga antara etnik dan mewujudkan antagonisme etnik. Dari sini British membentuk stereotaip etnik, iaitu etnik dengan bidangan masing-masing, sekali gus menjarakkan satu etnik dengan etnik yang lain bagi mengembangkan perasaan curiga dan prasangka yang tidak berkesudahan antara etnik. Stereotaip etnik ini menjadi cara membentuk prinsip pemerintahan dan kawalan kuasa.


6.0  KESIMPULAN DAN CADANGAN

Kesimpulannya, novel Interlok ini membawa persoalan iaitu melalui garapan perjuangan golongan bawahan yang berada dalam ‘kawah gula’ ekonomi perindustrian British secara cukup berseni melalui penyatuan tiga etnik yang akhirnya membina negara Malaya yang merdeka (kemudiannya menjadi Malaysia). Penyatuan tiga etnik secara ideal dalam Interlok ini memperlihatkan lambang penentangan terhadap dasar antagonisme etnik yang diwujudkan oleh British, sekali gus mewujudkannya sebagai novel sosial yang bukan sahaja membawa ideologi penyatuan etnik yang kuat, tetapi juga ideologi penentangan terhadap kelas atasan yang terdiri daripada penjajah British, pemodal dan konco British yang terdiri daripada pembelot bangsa.

            Menurut Hamzah Hamdani (1988), karya sastera sebagai fenomena sosial tidak hanya terlihat pada segi penghasilannya, tapi juga pada hakikat karya itu sendiri[6]. Sesuatu yang malang apabila novel sosial yang mengangkat tema perjuangan kelas bawahan ini ditutup dengan isu perkauman yang sempit dan dangkal demi kepentingan politik perkauman. Perkataan ’paria’ tidak mungkin dibuang kerana menjelaskan secara sejarah pergerakan sosial daripada golongan bawahan yang paling hina kepada golongan yang berjaya dan dihormati. Tanpa memperkenalkan Maniam sebagai seorang daripada kasta ’paria’, suatu bentuk pemaparan mobiliti sosial tersebut tidak dapat dilakukan dengan munasabah dan berkesan.

            Interlok ialah sebuah novel sosial yang tidak ada kena mengena dengan sebarang bentuk perlakuan untuk menghina mana-mana etnik, sebaliknya memaparkan seideal mungkin sifat menghormati antara satu sama lain yang menuju kepada ideal penyatuan antara etnik, khususnya daripada kalangan masyarakat bawahan. Oleh itu, saya mengharapkan dan memberikan cadangan supaya novel seperti ini perlu diangkat dan diperketengahkan semula. Kita bukan sengaja mahu mencetus kontroversi terhadap negara yang mempunyai pelbagai kaum dan budaya ini hanya mahukan supaya setiap pengajaran dalam novel ini perlu diangkat bagi memastikan kita semua sedar diri dari mana asal usul dan bertindak sebagai rakyat yang lebih bersatu-padu dan berkerjasama dalam terus memastikan negara kita kekal aman dan hidup muhibbah dengan rakyatnya yang pelbagai rentak.













BIBLIOGRAFI

Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. (1997). Berkonflik dan Berunding. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Abdullah Hussain (1996). Interlok Edisi Khas Sasterawan Negara. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hamzah Hamdani (1988). Konsep dan Pendekatan Sastera. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.
Jelani Harun (2007). Ilmu Kesusasteraan Abad ke-21. Pulau Pinang : Penerbit USM.
Kamarudin Haji Husin dan Siti Hajar Haji Abdul Aziz (1998). Pengajaran Kesusasteraan; UPM. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.
Sahlan Mohd. Saman (1994). Pengarang dan Kepengarangan Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.












Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN TEMUDUGA KONSTABEL PDRM

WAYANG KULIT DI MALAYSIA

TRIP TO TELUK BATIK