TEMPAT MENARIK DI IPOH YANG PENUH NOSTALGIA


Assalamualaikum n salam sejahtera semua. Hari ni saya nk share tempat-tempat menarik di Ipoh yang penuh nostalgia. Sebut saja Ipoh, pasti ada yang terbayang menu yang sedap dan lazat, terutamanya Nasi Ganja atau Nasi Vanggey . Jangan terperanjat jika ada yang sanggup datang ke sini semata-mata ingin menikmati hidangan enak ini.





Jika sudah sampai ke sini, elok juga kunjungi tempat-tempat menarik yang ditawarkan oleh bandar lama yang penuh dengan sejarah serta nostalgia.
Antaranya ialah:
1. Bulatan Sultan Idris Shah
Kedudukannya betul-betul di pintu masuk bandar raya ini. Dengan rekaannya yang unik, mercu tanda utama ini menjadi perhatian sesiapa sahaja yang memasuki bandar raya ini. Pemandangan waktu malam lebih menarik kerana dihiasi dengan lampu warna-warni dan pancutan air.
2. Stesen Kereta api Ipoh
Digelar Taj Mahal Ipoh oleh penduduk setempat kerana reka bentuk binaannya hampir menyerupai bangunan terkenal itu. Dikelilingi oleh pokok hiasan berbunga menambahkan lagi seri bangunan berwarna putih ini. Jika siangnya, ia menjadi tumpuan orang ramai yang mengguna perkhidmatan kereta api, waktu malam di dataran hadapan stesen bertukar menjadi kawasan riadah keluarga, anak-anak remaja bermain rollerblade dan pertunjukan hiburan oleh kumpulan buskers.






3. Muzium Darul Ridzuan
Bagi yang ingin mengetahui sejarah pembangunan Ipoh, lawatilah muzium yang sudah pun berusia lebih 100 tahun ini. Menariknya, seni bina muzium ini mempunyai ciri-ciri Inggeris. Di dalamnya pula mempamerkan artifak serta bahan sejarah perlombongan bijih timah dan pertanian di Ipoh.


4. Gua Tempurung
Tidak perlu terbang ke Sarawak semata-mata untuk melihat pembentukan stalaktit dan stalagmit di gua batu kapur kerana anda boleh lihat semuanya dalam gua ini. Terletak di Gopeng, ia antara gua terpanjang di Semenanjung, iaitu kira-kira 1.9km. Untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung, lampu dipasang sepanjang laluan pejalan kaki dan tangga. Yang inginkan cabaran, boleh mengambil pakej aktiviti lasak yang ditawarkan.


5. Taman Rekreasi Gunung Lang

Destinasi wajib dikunjungi oleh pencinta alam semula jadi. Dengan menaiki bot yang disediakan, pengunjung dibawa menyeberangi tasik sambil melihat panorama menarik di sekeliling bukit batu kapur sebelum tiba di taman rekreasi. Ia dihiasi dengan aneka spesies tumbuhan berbunga dan kolam-kolam kecil, sesuai dijadikan lokasi bergambar. Selain itu, pengunjung boleh memanjat menara tinjau dan memberi ikan makan.


6. Taman Jepun

 


Jika tidak puas menikmati kehijauan alam di Gunung Lang, pencinta alam boleh bersantai di Taman Mini Jepun yang terletak dalam Taman D.R. Seenivasagam. Dihiasi dengan rock lantern, rock water pitcher dan dikelilingi pula dengan pohonan bambu, pokok willow serta pokok pain menjadikannya seolah-olah sebuah taman di Fukuoka, Jepun. Memang terasa tenang dan mendamaikan berehat di taman ini.


7. Kolam Renang Dewan Bandar raya Ipoh



Dilabelkan sebagai kolam renang terbesar dan termoden di Asia Tenggara lantaran struktur binaannya bertaraf Olimpik. Kolam renangnya terbahagi kepada diving pool, beginners pool, children pool dan wave pool.


8. ‘Art of Oldtown’


Bagi yang meminati lukisan mural, jangan lepaskan peluang mengambil gambar hasil seni Ernest Zacharevic, pelukis dari Lithuanian dengan kerjasama Oldtown White Coffee. Lukisan ini memaparkan sejarah dan warisan yang terbina apabila Ipoh menjadi bandar letaknya kilang Old Town serta lahirnya Oldtown White Coffee.

9. Lost World of Tambun
Bukan sahaja menyediakan pelbagai aktiviti menarik di taman air seperti Jungle Wave Pool, Adventure River, Sandy Bay, Cliff Racer, Tube Raiders dan Kids Explorabay. Malah orang ramai boleh berhibur di taman tema kering, bermain dengan haiwan di Petting Zoo dan melihat harimau Siberia di Tiger Valley. Tidak ketinggalan juga, pengunjung boleh mempelajari sejarah perlombongan bijih timah di Tin Valley, menyertai aktiviti lasak di Adventure Park dan bersantai secara sihat di 8 kolam air panas di Lost World Hot Spring & Spa. Kalau tak nak tidur di sini pun boleh juga. Ada hotel lain yang murah di sekitar Tambun.


10. Gerbang Malam


Bagi yang ingin membeli perkakasan rumah, perhiasan diri, aksesori hiasan dan bermacam-macam-macam lagi boleh singgah ke Gerbang Malam.


11.  Pasar Karat (Memory Lane)
Berbeza pula di Memory Lane atau lebih mudah dipanggil Pasar Karat yang menjual peralatan lama yang sukar diperoleh sekarang. Jika anda pengumpul koleksi barang lama dan edisi terhad, Memory Lane adalah tempat yang mesti dikunjungi.


12. Kinta Riverfront


Seakan-akan i-City, cuma dalam kawasan yang lebih kecil. Pohon-pohon sepanjang Sungai Kinta berhadapan Hotel Kinta Riverfront dihiasi dengan lampu LED berwarna-warni. Di sini juga disediakan perkhidmatan sewa basikal di mana pengunjung boleh menunggang secara solo, berdua ala-ala pasangan romantik dalam drama Korea ataupun bertiga.



13. Dataran Jam
Jika ingin menikmati aneka makanan penduduk Ipoh, pastikan anda berada di Dataran Jam sekurang-kurangnya pada pukul 6 petang. Banyak gerai makanan dibuka di sepanjang kawasan padang bersebelahan Majlis Bandar raya Ipoh. Sungguhpun banyak kafe moden mulai dibuka di Ipoh, namun tidak sama pengalaman menjamu selera di kawasan yang terbuka.
Akhir kata
Sedang dalam pembinaan adalah Movie Animation Park Studios yang bakal dibuka tahun depan, satu lagi tarikan yang menjanjikan pengalaman bercuti yang menarik di Ipoh. Untuk orang luar Ipoh yang datang bercuti, jemput bermalam di sini kerana banyak hotel-hotel murah dan harga yang berpatutan. Bagi sesiapa yang selalu ke utara, singgah-singgahlah ke Ipoh. Ini kerana ada banyak tempat menarik di Ipoh yang boleh diterokai.
Selamat bercuti!


































Ulasan

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN TEMUDUGA KONSTABEL PDRM

WAYANG KULIT DI MALAYSIA

TRIP TO TELUK BATIK