TEMURAMAH USAHAWAN DNS KACANG PUTIH, BUNTONG


1.0 PENGENALAN
           
            Malaysia menuju ke arah negara perindustrian menjelang tahun 2020 di mana sektor perniagaan dijangka bertambah penting. Ia bukan sahaja merupakan sektor sokongan tetapi lebih ke arah menyediakan asas dan teknologi bagi memastikan kejayaan pembangunan perusahaan yang lebih besar. Usahawan yang terdiri daripada pelbagai bidang perniagaan semakin hari semakin bertambah seiring dengan kemodenan dan kemajuan yang sedang dicapai oleh negara ibarat “cendawan tumbuh selepas hujan”.
            Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, usahawan ditakrifkan sebagai orang yang mengusahakan sesuatu perusahaan iaitu pengusaha. Pengusaha dimaksudkan sebagai pekerjaan secara besar-besaran untuk membuat barang-barang industri atau pekerjaan berniaga secara besar-besaran. Kita boleh menyatakan bahawa usahawan adalah seorang yang mengambil risiko memulakan atau menubuhkan sesuatu perniagaan atau perusahaan dan mengusahakannya. Seseorang yang telah memulakan perniagaan atau telah membeli perniagaan yang dimulakan oleh orang lain juga dikenali sebagai usahawan.
            Usahawan juga adalah seorang pengurus yang menerajui perniagaannya dan dapat menuntut hak keempunyaan ke atas perniagaan tersebut. Oleh itu ia menanggung risiko perniagaan. Usahawan mempunyai wawasan dan mengembangkan perniagaan untuk kemakmuran masyarakat. Ia adalah seseorang yang inginkan kebebasan dalam perniagaan, membuat keputusan sendiri dan seterusnya ingin berjaya atas usaha sendiri.
            Keusahawanan adalah di antara perkara yang terpenting kepada individu, keluarga, pembangunan masyarakat, pembangunan negara serta agama. Ianya merupakan satu bidang ilmu yang merangkumi unsur-unsur sikap, kemahiran dan pengetahuan yang berkaitan dengan perniagaan dan perusahaan. Secara ringkasnya boleh dinyatakan bahawa keusahawanan sebagai kualiti manusia yang bukan sahaja mendatangkan faedah kepada dirinya sendiri tetapi ia dapat membangunkan ekonomi dengan pesat serta memberi sumbangan kepada orang lain. Ia merupakan proses mewujudkan dan mengurus perniagaan untuk mencapai objektif yang dihajati.


2.0 PERNIAGAAN YANG DIPILIH

            Setelah membuat penilaian dan temuramah, usahawan bernama Encik Sathis Kumar iaitu Pengurus Perniagaan DNS Kacang Putih Sdn. Bhd. telah dipilih sebagai seorang usahawan yang terlibat secara langsung dalam perniagaan keluarga yang berkembang dan menggunakan medium ‘online marketing’ dalam perniagaan. Sebelum kita menyusuri lebih lanjut tentang perniagaan DNS Kacang Putih Sdn. Bhd. ini, sedikit latar belakang pemilik perniagaan ini ialah Encik Sathis Kumar telah dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada 28 Oktober 1990 dan dibesarkan di Kampung Kacang Putih, Buntong, Ipoh, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal yang sama juga seperti masyarakat yang lain iaitu di Sekolah Kebangsaan St. Michael, Ipoh, Perak dan menyambung pada peringkat menengah pula di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael, Ipoh, Perak. Beliau telah berkahwin dengan Jayaletchumi A/P Rajasingam dan dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki dan kini menetap di Kampung Kacang Putih, Buntong, Ipoh, Perak.
            Perniagaan DNS Kacang Putih Sdn. Bhd. ialah salah satu perniagaan kecil sederhana kacang putih terbesar di Malaysia.  Lubuk kacang putih ini terletak di Ipoh Perak, bukan hanya makanan oleh masyarakat India, malah ia turut menjadi kegemaran masyarakat Melayu dan Cina. Boleh dikatakan ia merupakan pusat makanan ringan ‘1 Malaysia’ yang tekenal di Perak. Oleh itu, satu pembaharuan perlu dilakukan dengan kadar yang segera agar industri ini terus berkembang dengan lebih pesat, sekaligus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri seperti yang dinyatakan oleh Pengurus Perniagaan DNS Kacang Putih Sdn. Bhd. Ipoh, Encik Sathis Kumar ketika ditemui di kedai perniagaannya di Buntong, Ipoh.
            Beliau mempunyai pengalaman dalam mengendalikan gerai-gerai dengan mengikuti pelbagai ekspo yang diadakan di seluruh Malaysia. Di samping itu, beliau juga berpengalaman dalam mengendalikan tempahan-tempahan untuk stokis di seluruh Malaysia dan eksport ke luar negara. Beliau yang berumur 28 tahun berkata, minat untuk menceburi bidang perniagaan kacang putih ini mula terbit seawal umur beliau 10 tahun lagi. Sementara ayahnya menjual kacang putih di kantin sekolah, beliau akan menjunjung bakul yang dipenuhi dengan kacang putih untuk dijual di jalanan. Untuk pengetahuan semua, perniagaan kacang putih ini adalah perniagaan keluarga secara turun-temurun. Sebelum ini, nama kedai ini ialah Tangavello Kacang Putih dan kemudian barulah ditukarkan kepada DNS Kacang Putih. Kilang pemprosesan kacang putih ini menghasilkan lebih daripada 36 jenis kacang setiap hari, antaranya ialah pakoda, sivel, dhall, aulu, poori, pakoda srilanka, omom, kadalai dan lain-lain lagi. Selain itu, Encik Sathis Kumar turut memberitahu kedainya turut menjual manisan tradisional masyarakat Indian seperti laddu, jalebi, athirasam dan mysore pagu.
            Beliau juga telah menghadiri kursus sijil GMP dan HACCP serta beberapa kursus berkaitan pemasaran makanan, keusahawan, pengurusan perniagaan dan lain-lain yang berkaitan bagi mendapatkan kemahiran dan pengetahuan yang boleh diaplikasikan di dalam perniagaan beliau. Selain itu, perniagaan kacang putih ini juga telah pun memperolehi sijil halal JAKIM di mana ia merupakan salah satu sijil penting dalam industri pengeluaran makanan kacang putih yang menunjukkan bahawa kacang putih yang dihasilkan dan disediakan oleh mereka dijamin halal. Tahap kebersihannya pula diakui oleh pegawai kesihatan daripada Majlis Bandaraya Ipoh juga yang sering kali melakukan pemeriksaan.
            Sehubungan dengan itu, kacang putih yang dijualnya sentiasa mendapat sambutan ramai. Malah harga yang ditawarkan juga adalah berpatutan iaitu serendah RM6 hingga RM14 sekilo. Tambah beliau lagi, saingan yang wujud dalam perniagaan menjual kacang putih di Kampung Kacang Putih ini sihat kerana setiap peniaga mempunyai rahsia resipi keluarga yang tersendiri. Justeru, pelanggan-pelanggan mereka juga kebanyakannya adalah terdiri daripada pelanggan tetap. Perniagaan DNS Kacang Putih ini juga telah diperluaskan skop perniagaannya dengan mengeksport produk mereka ke luar negara seperti Australia, New Zealand, Brunei dan China serta beberapa negara yang lain lagi.
            Menurut Pengurus DNS Kacang Putih, Encik Sathis Kumar, perniagaan itu dimulakan datuknya sebelum diambil alih oleh bapanya yang kemudian menyerahkan perniagaan itu kepadanya untuk diuruskan. Katanya, dia tiada masalah menguruskan perniagaan itu kerana sentiasa belajar dengan saudaranya di kedai bersebelahan untuk menguruskan perniagaan. Menurutnya, semua kacang dan kerepek yang dijual di kedainya sentiasa mendapat sambutan pelanggan terutama pada musim perayaan. Setiap kali musim perayaan, jualan sangat laris dan kadangkala permintaan lebih banyak daripada pengeluaran kerana kebanyakan pelanggan sudah tahu kampung ini kawasan utama menjual kacang putih. Semua kacang dan kerepek dihasilkan di kilang di sini kecuali bahan mentah seperti kacang dan tepung diimport dari India,” katanya ketika ditemui di kedainya.
            Encik Sathis berkata, kira-kira 120 jenis kacang dan kerepek dijual pengusaha di kampung itu. Sebanyak 40 jenis mendapat perhatian utama pelanggan seperti kerepek ubi pedas, omapodi, muruku bintang, muruku kari, kacang tanah kari, kacang telur dan kacang susu. Menurutnya, selain untuk pasaran tempatan, kacang serta kerepek itu turut ­dieksport ke luar negara. Kira-kira 30 jenis kacang serta kerepek dieksport, namun ia bergantung kepada permintaan,” katanya.







2.1 SEJARAH PENUBUHAN PERNIAGAAN

            Sebut sahaja kacang putih, pasti terbayang kudapan yang diminati semua lapisan masyarakat. Namun, tidak ramai yang tahu kacang putih juga adalah nama sebuah kampung di Perak. Kampung Kacang Putih yang terletak di Buntong di Ipoh, menjadi tumpuan pengunjung terutama pada musim perayaan bagi membeli kudapan itu. Ia juga menjadi antara destinasi terkenal pengunjung bukan sahaja dari Perak, malah dari negeri lain yang ingin merasai keenakan kacang serta keropok dijual beberapa pengusaha. Jika disingkap kembali, sudah pasti generasi lama tidak lupa bagaimana penjual kacang putih menggulung kertas menjadi bentuk kon dan mengisinya dengan kekacang atau snek rangup lain.
            Kira-kira 40 tahun kemudian, beberapa penduduk mula memproses kudapan itu secara kecil-kecilan sebelum perniagaan itu berkembang. Kini sebahagian daripada pengusaha terbabit membina kilang untuk memproses kudapan itu bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Sekarang ini, terdapat lebih kurang 15 pengusaha komersial muruku dan kekacang di Kampung Kacang Putih yang membekalkan makanan ringan itu ke seluruh negara. Apa yang menarik, semua pengusaha mempunyai ikatan persaudaraan dan faktor itu menyebabkan tidak timbul pergaduhan kerana berebut pelanggan.
            Pada tahun 1920-an, pedagang dari India dikenali sebagai Sangkaralinggam Nadar bersama rakannya telah dibawa berhijrah ke Malaysia yang dulunya dikenali sebagai Malaya oleh British untuk membersihkan tanah. Selepas sampai di Malaysia mereka memulakan perniagaan secara kecil-kecilan dengan membuat dua jenis snek India yang dikenali sebagai kacang putih dan muruku di sebuah penempatan yang terletak di Bukit Batu Kapur di Gunung Cheroh, Ipoh, Perak. Industri kacang putih ini telah lama wujud di Perak, sejak tahun 1940 dan dari situ bermulalah transformasi serta pertumbuhan perniagaan kacang putih. Ia bermula secara menjaja dan kini telah wujudnya kedai-kedai dan kilang memproses kacang. Perniagaan mula berkembang tetapi berubah selepas satu tragedi telah melanda kawasan itu pada awal 1970-an. Sebahagian daripada bukit runtuh ke dalam koloni setinggan dan telah membunuh kira-kira 40 orang penduduk di sana.
            Disebabkan oleh kejadian bukit runtuh tersebut, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebidang tanah di Buntong, Ipoh kepada mangsa-mangsa untuk berpindah. Apabila semua mangsa telah dipindahkan mereka mula sepakat untuk menjalankan kembali perniagaan mereka di Buntong. Dari situlah bermula bagaimana Kampung Kacang Putih wujud. Setelah lebih dari empat puluh tahun kemudian, beberapa perniagaan kecil berkembang dan kemudian mereka telah mendirikan kilang-kilang untuk menampung permintaan yang semakin meningkat. Satu fakta yang luar biasa tentang kampung tersebut adalah semua keluarga yang terlibat dalam perniagaan kacang putih tersebut mempunyai kaitan antara satu sama lain.
            Pada tahun 1971, Sangkaralinggam Nadar telah mewariskan perniagaannya kepada anaknya yang bernama Thirunelvelli Nadar. Beliau telah menjalankan perniagaannya di dalam kampung tersebut dari tahun 1971 hingga 1981. Thirunelvelli Nadar berasal dari Ettayapurambin Tamil Nadu, India. Beliau dikenali kerana kehebatannya dalam menghasilkan muruku dan kacang. Bagi menambahkan pendapatan mereka, Thirunelvelli Nadar mula membuat lima hingga enam jenis makanan ringan untuk dijual. Beliau mengusahakan perniagaannya secara kecil-kecilan dengan mengayuh basikal untuk menjual kacang putih dan muruku di serata negeri Perak.
            Pada tahun 1981 hingga 2005 anak kepada Thirunelvelli Nadar iaitu Dato’ Dr. T. Sangkaralinggam Nadar menyambung warisan perniagaannya. Thirunelvelli Nadar menamakan anak pertamanya itu seperti nama ayahnya bagi memastikan nama keluarga mereka terus dikenali dan tidak hilang dek zaman. Selepas mengambil alih perniagaan tersebut, Dato’ Dr. T. Sangkaralinggam Nadar menamakan perniagaannya kepada DNS kacang putih sempena nama anak-anaknya iaitu Deva Kumar, Nirmar Kumar dan Sathis Kumar. Sehingga kini beliau berjaya menubuhkan sebuah kilang yang terletak di Menglembu dan dua buah kedai yang terletak di Buntong. Pada tahun 2006, beliau menyerahkan perniagaannya kepada tiga anak lelakinya untuk menyambung lagi warisan mereka. Anaknya yang pertama dikenali sebagai Deva Kumar adalah pengurus kedai di cawangan pertama di Buntong manakala anaknya yang kedua bernama Nirmar Kumar diberikan tanggungjawab sebagai pengurus kilang di Menglembu dan anaknya yang ketiga Sathis Kumar adalah sebagai pengurus kedai kedua yang juga terletak di kawasan Buntong. Sehingga kini perniagaan yang dikenali sebagai DNS Kacang Putih telah menjangkau empat warisan turun temurun.
           

2.2 MATLAMAT, MISI DAN VISI PERNIAGAAN

i)             MATLAMAT :
Berhasrat untuk mengembang dan membina lebih banyak kedai dan     cawangan di dalam dan luar negara.

ii)            MISI :
Kami berdedikasi untuk menjanjikan produk berkualiti terbaik kepada pengguna yang telah lama bergantung kepada kami. Kami berkomitmen untuk mencipta produk makanan ringan dan kacang untuk disesuaikan dengan rasa tempatan dan juga standard antarabangsa.

iii)           VISI :
Bagi membina kejayaan kami dan standart yang tinggi dalam industri makanan ringan dan makanan. Kami merancang untuk memperluaskan operasi kami ke luar negara dan menjana kelebihan daya saing jangka panjang yang mantap dengan memberikan pulangan yang lebih baik untuk rakan perniagaan kami.


2.3 CIRI-CIRI USAHAWAN YANG TERDAPAT DALAM DIRI PEMILIK PERNIAGAAN

            Ciri utama yang terdapat dalam diri usahawan iaitu Encik sathis ialah kecekalan. Liku-liku hidup seorang usahawan adalah kompleks. Usahawan perlu mengharungi berbagai-bagai halangan dan masalah perniagaan. Untuk itu, Encik Sathis telah mempunyai ketabahan dan kecekalan diri yang tinggi semasa menguruskan perniagaannya. Sikap seseorang yang cekal iaitu berusaha berulang kali atau mencari jalan untuk mengatasi rintangan-rintangan yang menghalang pencapaian maklumat. Oleh itu, sebagai seorang yang cekal, Encik Sathis sentiasa berusaha untuk memajukan perniagaan yang diturunkan kepadanya dan memastikan perniagaannya sentiasa berkembang dan maju.
            Selain itu, ciri yang terdapat pada usahawan ini ialah melihat dan merebut peluang kejayaan. Seseorang usahawan banyak bergantung kepada kemampuannya melihat dan merebut peluang-peluang yang wujud di sekitarnya. Kata-kata hikmat yang penting kepada seseorang usahawan ialah peluang mesti dicari, ianya tidak diberi. Peluang-peluang perniagaan boleh wujud hasil daripada perkara-perkara seperti permintaan yang tidak dapat dipenuhi oleh usahawan lain, kewujudan teknologi baru, kemahiran yang wujud dalam persekitaran, sumber-sumber alam yang belum diterokai dan halacara baru dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan. Justeru, Encik Sathis sentiasa merebut peluang yang ada untuk memastikan perniagaan kacang putihnya semakin laris di pasaran.
            Seterusnya, ciri yang ada dalam diri beliau ialah keyakinan diri. Usahawan perniagaan kacang putih ini sentiasa mempunyai keyakinan terhadap diri sendiri dan menunjukkan sikap yakin terhadap kemampuan diri dalam membuat keputusan atau dalam menyahut sesuatu cabaran berkaitan dengan perniagaan yang diceburi olehnya. Encik Sathis juga sangat berpendirian tetap terhadap apa yang sedang dilakukan bagi memastikan matlamat perniagaan tercapai.
            Ciri seterusnya sebagai seorang usahawan ialah dapat meyakinkan orang lain. Fungsi utama seorang usahawan ialah mempengaruhi keadaan persekitarannya. Persekitaran usahawan termasuklah individu-individu atau institusi-institusi. Encik Sathis berurusan dengan pelbagai pihak untuk menggerakkan sumber-sumber organisasi, mendapatkan bahan mentah, mengelolakan proses pengeluaran dan perkhidmatan kacang putih. Kesemua aktiviti tersebut memerlukan kemahiran untuk memujuk dan meyakinkan orang lain. Tanpa kemampuan tersebut, Encik Sathis mungkin akan gagal mempengaruhi pelanggan atau pembekal untuk memberi sokongan kepada perniagaannya.
            Encik Sathis juga mempunyai ciri tidak mudah berputus asa sebagai seorang usahawan yang berjaya. Dalam konteks perniagaan, masalah yang sering timbul di awal perniagaan adalah modal, pelanggan dan persaingan yang sedia ada. Dalam menghadapi kesulitan ataupun masalah, beliau tidak mudah dan cepat berputus asa atau patah semangat, sebaliknya beliau bersiapkan diri untuk membuka mata, telinga serta pemikirannya dalam mengembangkan perniagaannya. Hal ini kerana, dengan membuka mata, beliau akan dapat melihat peluang lain yang mungkin akan timbul. Seterusnya dengan memasang telinga serta membuka pemikirannya akan dapat membantu dalam menyelesaikan masalah yang timbul, misalnya dengan membuka telinga, beliau akan mendengar nasihat-nasihat berguna daripada golongan tertentu seperti keluarga, kawan-kawan, dan insan-insan tersayang, manakala dengan membuka pemikiran pula, Encik Sathis akan bijak untuk menyelamatkan perniagaan dengan berfikir di luar kotak, kreatif dan berinovatif. Perkara ini, sentiasa diterapkan di dalam jiwa dan hatinya agar dia mempunyai sikap yang tidak mudah berputus asa demi menyelamatkan perniagaan mereka yang telah ada pada zaman dahulu lagi.
            Encik Sathis mempunyai ciri usahawan penting yang berpandangan jauh. Berpandangan jauh boleh ditakrifkan sebagai suatu kebolehan untuk menjangka apa yang akan berlaku pada masa akan datang. Dalam menjadi seorang usahawan yang berjaya, salah satu ciri yang perlu ada adalah memiliki sifat berpandangan jauh. Usahawan yang mempunyai perniagaan kacang putih ini mempunyai sifat berpandangan jauh adalah seorang yang pandai merancang, menganalisis dan mempunyai sikap merebut peluang yang ada di depan mata. Sebagai contoh, Encik Sathis berpandangan jauh dalam mengembangkan perniagaan mereka ke seluruh dunia dengan mengeksport pelbagai jenis makanan daripada kilang mereka untuk dipasarkan ke persada dunia. Meskipun terpaksa menghadapi pelbagai halangan dalam bidang ini namun beliau tetap sanggup mengambil risiko. Perkara ini dapat dilihat sebagai contoh seorang usahawan yang sanggup mengambil risiko yang besar kerana beliau melihat peluang yang ada dan berpandangan jauh untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Pendek kata, Encik Sathis adalah seorang usahawan yang berpandangan jauh dan sifat berpandangan jauh beliaulah yang telah mengembangkan lagi perniagaan turun-temurun mereka sehingga peringkat antarabangsa.
            Akhir sekali, ciri usahawan yang dimiliki oleh Encik Sathis ini ialah beliau mempunyai sikap bertanggungjawab. Setiap usahawan yang ada di dalam dunia ini sememangnya mempunyai ciri-ciri keusahawanan yang tinggi, tetapi tidak semua usahawan mempunyai sikap tanggungjawab. Hal ini demikian kerana, sikap bertanggungjawab adalah antara sikap yang paling berat untuk dilakukan, kerana ia akan mendatangkan kerugian atau keuntungan kepada individu tersebut. Sebagai contoh, Encik Sathis sangat bertanggungjawab terhadap pekerjanya. Beliau akan memastikan kebajikan pekerja akan sentiasa dijaga. Hal ini kerana pekerja di kilangnya merupakan nadi kepada kilang tersebut. Oleh itu, apabila kebajikan pekerja dijaga maka mutu pengeluaran dan pemprosesan kacang putih akan terus meningkat. Selain itu, usahawan yang berjaya ini juga mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap dirinya serta perniagaannya. Beliau begitu bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan. Hal ini kerana Encik Sathis tidak mahu mengecewakan harapan moyangnya dalam mengembangkan perniagaan keluarga mereka.
            Kesimpulannya, seseorang usahawan yang berjaya, hendaklah mempunyai ciri-ciri seperti yang dinyatakan seperti yang dimiliki oleh Encik Sathis. Perkara ini demikian kerana, dengan mempunyai ciri-ciri keusahawanan seperti ini, keuntungan syarikat atau perniagaan yang diusahakan akan bertambah maju dan berkembang dengan pesat, tetapi jika risiko yang diambil itu gagal, berkemungkinan besar akan menyebabkan sesebuah syarikat itu gulung tikar. Justeru, semua usahawan perlulah mengamalkan ciri-ciri yang seharusnya dimiliki oleh usahawan berjaya yang lain.

2.4 STRATEGI PERNIAGAAN YANG DIGUNAKAN

            Bagi memastikan sesebuah perniagaan itu berjaya, kita juga perlu mempunyai strategi yang berkesan. Bukan sahaja perniagaan, setiap pekerjaan yang dilakukan juga memerlukan perancangan yang sempurna. Jika tidak impian itu akan musnah di pertengahan jalan. Setiap perniagaan yang diusahakan mempunyai harapan yang tinggi, agar perniagaan itu terus maju dan berjaya serta dapat mengubah masa depan agar tidak ditindas pihak lain. Tiada sesiapa yang mengharap perniagaan yang dijalankan musnah dengan wang ringgit yang dikeluarkan. Namun, tidak semua perniagaan yang diusahakan mampu menetapkan jumlah pelanggan di dalam atau di luar negara. Tidak kira sebarang jenis perniagaan yang dijalankan samada melibatkan penjualan produk, servis, nasihat dan sebagainya. Kecekalan dan semangat yang kental sangat diperlukan bagi memastikan cita-cita yang diimpikan tercapai. Perniagaan ini bukan sesuatu yang boleh dicapai dengan mudah kerana ia mengambil masa dan memakan tempoh yang agak panjang. Sambutan pelanggan dalam perniagaan yang dijalankan mempunyai beberapa cara untuk dicapai.
            Beberapa strategi ini telah diamalkan oleh Encik Sathis bagi memastikan perniagaan yang dijalankan menjanjikan pulangan yang lumayan dan memberangsangkan. Perkara pertama yang telah beliau amalkan adalah dengan mengupah pekerja yang boleh dipercayai. Hal ini kerana setelah mempunyai kedudukan yang baik dalam perniagaan yang diceburi, pasti beliau ingin meluaskan perniagaan kacang putih itu dan membuka cawangan baru memerlukan lebih ramai perkerja untuk menguruskannya. Maka, beliau perlu mengupah orang yang boleh dipercayai untuk memastikan perniagaan yang diusahakan selama ini tidak dirosakkan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan beliau. Beliau telah mengupah jiran yang telah lama dikenali sebelum memulakan perniagaan itu dan juga mengupah kawan-kawan yang sudah beliau maklum dengan hati budi mereka. Jika tidak, perniagaan yang telah dijalankan akan musnah berikutan ada pihak yang iri hati dengan kesenangan dan kemewahan yang telah dicapai. Oleh sebab itu, beliau perlu menjalin perhubungan yang baik dan tidak bermusuh dengan semua orang agar beliau juga selamat dan perniagaan akan terus maju.
            Selain itu, strategi yang digunakan adalah dengan mendengar dan mengikuti kemahuan pelanggan. Pihak yang akan menentukan jatuh bangun sesebuah perniagaan itu adalah pelanggan dan orang ramai. Maka, hasrat dan kemahuan mereka perlu diambil kira dan tidak boleh dipandang ringan. Jika tidak, pelanggan akan lari dan kita yang akan mengalami kerugian kerana gagal memenuhi kehendak mereka. Sekurang-kurangnya kehendak pelanggan memberikan kita sesuatu yang baru untuk dicuba dalam dunia perniagaan itu. Oleh itu, Encik Sathis berusaha untuk memenuhi permintaan dan citarasa masyarakat dalam menghasilkan pelbagai jenis kacang putih sehingga berjaya meluaskan perniagaan ke serata dunia. Strategi ini yang menjalin hubungan baik dengan pelanggan begitu memberangsangkan peningkatan permintaan terhadap kacang putih. Pelanggan yang setia adalah sebuah aset penting dalam perusahaan. Beliau juga menghargai para pelanggan dengan cara memberi percuma salah satu produk mengikut harga yang dibeli.
            Seterusnya, strategi perniagaan yang digunakan ialah media sosial. Ia adalah alat pemasaran yang paling terbaik kerana hampir semua orang dari berbagai-bagai latar belakang yang berbeza, sangat aktif menggunakannya. Untuk makluman DNS Kacang Putih mempunyai satu lama sesawang tersendiri iaitu blog DNS Kacang Putih dan boleh diakses dengan melayari https://www.dnskacangputih.com di mana pengunjung di alam maya boleh membuat tempahan di hanya di hujung jari. Selain daripada blog, DNS Kacang Putih juga mempunyai facebook untuk mempromosi di laman tersebut.
            Strategi perniagaan yang digunakan juga ialah dengan mempromosikan pemasaran melalui iklan seperti media cetak seperti surat khabar, majalah dan banner. Manakala media elektronik seperti radio siaran Perak.fm. Hal ini adalah bagi menguasai pasaran sedia ada. Perkara pertama yang sering difikirkan oleh usahawan bila bercakap tentang pengembangan perniagaan adalah mendapatkan pelanggan baru. Mencari pelanggan baru untuk perniagaan memang penting tetapi ianya sesuai bagi peringkat permulaan perniagaan. Bagi fasa untuk kembangkan bisnes, pelanggan sedia ada atau pelanggan tetap adalah lebih penting berbanding pelanggan baru. Justeru, Encik Sathis membuat strategi mempromosikan perniagaan kacang putih melalui media cetak dan media elektronik.
            Seterusnya, Encik Sathis menggunakan strategi dalam mengembangkan perniagaannya dengan meluaskan saiz pasaran. Jika sebelum ini beliau hanya fokus saiz pasaran pada kawasan sekitar Ipoh dan dalam negara sahaja, namun beberapa tahun belakangan ini, beliau telah mengeksport kacang putih sehingga ke luar negara. Sebagai contoh, semasa meluaskan saiz pasaran di lokasi baru, seperti membuka kedai atau kiosk di bandar baru dan di beberapa buah negara yang lain. Pemasangan banner atau bunting di kawasan baru amat membantu dalam meningkatkan permintaan kacang putih. Beliau juga telah meluaskan saiz pasaran yang juga telah dilakukan di alam digital, seperti penambahan kawasan target di dalam pengiklanan Facebook.
            Secara kesimpulannya, strategi ini yang diamalkan oleh Encik Sathis adalah agar perniagaan yang diceburi itu menampakkan hasil dengan titik peluh yang dikorbankan. Kegagalan dan jatuh bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan beliau perlu bersedia dengan semua kemungkinan yang bakal tiba. Sekali jatuh bukan bermakna beliau akan jatuh selamanya. Beliau menjadikan perkara ini sebagai pembakar semangat. Pokok pangkal untuk berjaya dalam bidang perniagaan adalah minat yang mendalam, kegigihan dan juga usaha yang tidak pernah kenal penat lelah. Dalam erti kata yang mudah, setiap usaha yang dilakukan pasti akan membuahkan hasil apabila tiba masanya nanti. Hanya perlu berusaha dengan gigigh dan terus berdoa agar urusan kita dipermudahkan.





2.5 KAEDAH PEMASARAN SECARA ‘ONLINE’ YANG DIGUNAKAN DAN KEBERKESANANNYA

            Kita kini berada dalam era moden di mana kaedah pemasaran konvensional sudah menjadi kurang sesuai untuk sampai ke sasaran yang lebih besar. Penggunaan teknologi perlu digunapakai sepenuhnya, sekurang-kurangnya menggunakan kaedah pemasaran digital untuk perniagaan anda. Pemasaran digital ialah sebagai aktiviti promosi untuk produk atau jenama melalui aplikasi media elektronik. Fungsinya ialah sebagai medium pertukaran maklumat produk atau perkhidmatan kepada pelanggan. Selain itu, usahawan boleh menggunakan kaedah ini untuk membina dan mengekalkan hubungan bersama pelanggan. Pemasaran digital adalah lebih kos efektif daripada kaedah pemasaran konvensional dari segi kitar jualan yang berkurangan, boleh diukur, memberi lebih kemudahan serta mencapai hasil yang disasarkan. Pemasaran digital kini dan pada masa hadapan bermatlamat untuk menghasilkan jualan daripada pengguna internet yang menggunakan media sosial. Ia adalah pelan tindakan yang perlu dibangunkan menggunakan jaringan atas talian yang ada untuk menarik minat pelanggan terhadap produk atau perkhidmatan perniagaan anda.
            Media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube dan sebagainya adalah cara promosi perniagaan yang popular dan mudah kerana boleh dilakukan di rumah atau di mana-mana sahaja. Oleh itu, bagi Encik Sathis, kaedah pengiklanan melalui laman sosial ini mudah dilaksanakan dan kaedah yang percuma dan berkesan. Beliau memperkenalkan produk perniagaan dengan menghantar gambar produk perniagaan serta keistimewaan kacang putih perniagaannya untuk keyakinan rakan laman sosial dengan menyertakan website, blog dan nombor telefon perniagaan. Selain itu, kaedah promosi melalui media sosial mempunyai banyak kebaikan untuk membina kenalan baru atau hubungan perniagaan yang baik dan ikhlas sambil pertukaran peluang perniagaan. Tiga media sosial yang popular masa kini untuk mempromosikan perniagaan kacang putihnya adalah satu teknik pemasaran yang paling berkesan kerana dari situ dapat menarik ramai pelanggan untuk memesan kacang putih secara pengeposan ke tempat mereka tanpa perlu datang ke Kampung Kacang Putih.
            Seterusnya, Encik Sathis juga menggunakan platform pemasaran produk perniagaan menerusi laman web atau blog yang juga adalah bisnes atas talian yang merupakan yang paling menarik, berkesan dan berkekalan. Laman web atau blog adalah seperti kedai jualan atas talian 24 jam yang memaparkan gambar produk, maklumat produk, borang tempahan, testimoni, cara hubungi dan sebagainya. Oleh itu, sesiapa sahaja yang berada di seluruh negara dan luar negara dapat menempah kacang putih daripada kilang pengeluaran Encik Sathis. Blog boleh di bina secara percuma tanpa had dengan hanya memiliki akaun e-mel. Website atau laman web perniagaan adalah promosi perniagaan berbayar iaitu perlu sedikit perbelanjaan sewa tapak server dan domain. Hal ini dapat memberikan keuntungan kepada Encik Sathis dalam meningkatkan tempahan kacang putih. Oleh itu, dengan adanya strategi ini, usaha pemasaran akan menjadi lebih teratur serta efektif, dan boleh diukur prestasinya.


2.6 ISU / CABARAN / HALANGAN YANG DIHADAPI USAHAWAN
           
            Sudah menjadi adat dalam perniagaan, pelbagai rintangan yang dihadapi terutamanya dari segi kewangan untuk menampung kos sewa premis, modal sendiri yang tinggi kerana tidak mendapat pinjaman daripada pihak bank, untung sedikit, kerenah pekerja dan pelbagai lagi masalah. Selain itu, masalah juga timbul apabila kekurangan pekerja yang berpengalaman unuk menguruskan pekerja, pelanggan, pengedar, barangan, dan sebagainya. Kehilangan pekerja yang mahir dan pelanggan beralih kepada pesaing yang menawarkan harga yang lebih rendah disebabkan oleh masalah ekonomi negara yang tidak stabil sekarang ini turut menjadi penyebab timbulnya pelbagai masalah. Menurut Encik Sathis, pada masa ini masalah yang dihadapi oleh semua peniaga kacang putih di Buntong ialah kekurangan kakitangan ataupun pekerja. Golongan muda tempatan dilihat tidak berminat untuk bekerja dalam bidang memproses dan membekal kacang putih. Oleh itu, mereka terpaksa mengambil pekerja warga asing untuk membantu mereka menjalankan perniagaan.
            Sebagai seorang usahawan yang berjaya, Encik Sathis perlu cekal dan kuat semangat untuk menghadapi segala cabaran yang datang. Beliau perlu berusaha untuk manjadikan cabaran sebagai satu peluang untuk meningkatkan lagi mutu dan pencapaian perniagaan kacang putihnya. Selain itu, beliau perlu sentiasa bijak mencari peluang dan bersaing secara sihat kerana di kawasan tersebut mempunyai banyak persaingan yang agak sengit. Kesabaran yang tinggi juga perlu ada dalam diri usahawan ini kerana tanpa kesabaran sesebuah perniagaan tidak dapat bertahan lama.
            Selain itu, Encik Sathis berusaha untuk sentiasa bersaing secara sihat dengan memberikan yang lebih baik kepada pelanggan berbanding pesaing yang ada. Beliau bersedia untuk menerima kritikan secara positif dengan menunjukkan penambahbaikan dan memastikan jika terdapat kesilapan yang berlaku tidak akan berulang lagi. Selain itu, beliau sentiasa bersabar dan meningkatkan motivasi diri di samping meningkatkan segala usaha sedia ada kepada tahap maksimum yang mungkin bagi menghadapi segala cabaran yang mendatang. Oleh itu, jika terdapat sebarang masalah yang timbul, Encik Sathis sendiri akan turun padang untuk memastikan perniagaan kacang putih beliau berjalan dengan lancar.
            Setiap dugaan dan rintangan yang dihadapi dalam mengusahakan sesebuah perniagaan adalah merupakan asam garam rencah perniagaan. Setiap dugaan itu merupakan satu pengorbanan yang harus dibayar untuk mencapai satu kejayaan di masa hadapan. Setiap pandangan dan kritikan sinis orang sekeliling sepatutnya dijadikan semangat untuk kita terus maju. Jangan salahkan mereka, anggaplah mereka masih mentah dan ini akan memberi peluang yang lebih untuk kita mencapai kejayaan.





2.7 FAKTOR-FAKTOR KEJAYAAN PERNIAGAAN

            Kejayaan seseorang usahawan disebabkan oleh beberapa faktor pendorong seseorang menceburkan diri dalam bidang keusahawanan. Encik Sathis percaya setiap rezeki yang diperolehinya adalah kurniaan Tuhan kepada keluarganya sejak dari turun temurun lagi. Usahawan ini tidak pernah putus dari memanjatkan rasa kesyukurannya dan bermohon agar diberikan rezeki yang mencurah-curah untuknya. Selain itu, beliau percaya untuk mencapai kejayaan, beliau perlu berusaha keras, sabar, dan ihklas dalam semua perkara yang dilakukannya. Berpegang kepada kata-kata “Kegagalan bukan penghalang tetapi satu peluang untuk lebih berjaya di masa akan datang” membuatkannya lebih bersemangat untuk meneruskan perniagaannya yang mengubah nasib moyangnya hingga kepada generasinya yang terkini.
            Seterusnya, menurut Encik Sathis yang memang tidak mempunyai kepakaran sebelum ini dalam bidang perniagaan namun, atas minat yang mendalam dalam perniagaan yang mendorong beliau menceburi bidang ini. Sebelum mengambil alih perniagaan keluarganya ini, beliau sejak kecil dan semasa bersekolah lagi sering membantu ayahnya untuk berniaga, jadi beliau amat tahu tentang kehendak dan keperluan pelanggan. Beliau mengutarakan pendapatnya untuk mengambil alih perniagaan ayahnya kepada keluarga, mereka memberi sokongan dan dorongan untuk meneruskan niatnya itu. Beliau amat berminat dalam bidang perniagaan dalam masa yang sama ingin meluangkan banyak masa untuk keluarga yang tercinta. Dengan menguruskan perniagaan sendiri, beliau dapat mengatur dan membahagikan masa beliau sebaik mungkin tanpa mengabaikan tanggungjawab dengan keluarga.




3.0 KESIMPULAN

            Kesimpulannya, menurut apa yang usahawan berjaya ini katakan ialah dengan mempunyai minat yang mendalam terdapat sesuatu perkara yang boleh membantu untuk mencapai kejayaan seperti yang beliau selalu pegang iaitu, “untuk berjaya anda mesti suka apa yang kamu lakukan”. Oleh itu, beliau mesti mempunyai satu pelan dan tujuan untuk mencapai matlamat yang dikehendaki dalam perniagaan. Ciri-ciri usahawan yang perlu untuk seorang usahawan perlu dititikberatkan. Contohnya, bakal usahawan yang ingin menceburi kerjaya ini seperti Encik Sathis ini, mereka boleh menjadikan Dato’ Aliff Syukri iaitu pengasas D’Herbs yang terkenal sebagai model peranan dalam mempunyai sebuah perniagaan yang hebat kerana telah memulakan perniagaan dari peringkat bawah sehingga berjaya memasarkan perniagaan sehingga ke peringkat antarabangsa. Dalam hal ini menunjukkan bahawa untuk memulakan perniagaan kita mesti mempunyai keberanian untuk menangani pelbagai kemungkinan yang akan datang.
            Selain itu, apabila kegagalan datang, sebagai seorang usahawan, kita tidak boleh mudah berputus harapan sebaliknya terus berjuang. Apabila produk telah diterima oleh semua lapisan masyarakat, kita telah berjaya memenuhi keperluan dan kehendak pengguna. Dalam perniagaan, kepuasan pelanggan adalah keutamaan untuk semua usahawan. Dapat saya simpulkan bahawa melalui temubual yang telah dijalankan bersama Encik Sathis, kita boleh menjadikan beliau sebagai contoh usahawan yang berjaya kerana mampu memperolehi pendapatan lumayan di samping dapat membantu mereka yang memerlukan pekerjaan hanya dengan menjalankan perniagaan warisan kacang putih. Kita perlu menerapkan semangat dan rajin berusaha dalam diri masing-masing untuk memastikan kita juga boleh berjaya seperti beliau. Saya turut menjadikan beliau sebagai salah seorang idola saya dan menjadikan pengalaman hidup beliau sebagai motivasi dalam diri saya. Oleh itu, untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya, seseorang itu perlu mempunyai ciri-ciri yang diperlukan untuk menjadi seorang usahawan yang kuat dalam diri mereka, agar mereka boleh mengendalikan syarikat dan perniagaan ke puncak dunia.
            Pada pendapat saya, selepas menyelesaikan tugas ini, untuk menjadi usahawan yang baik, kita harus lebih yakin terhadap apa yang kita yang melakukan atau kita yang ingin terlibat dalam bidang keusahawanan ini. Tambahan pula, kita boleh berkongsi teladan yang baik kepada orang lain tentang bagaimana untuk menjadi usahawan yang baik berdasarkan contoh usahawan yang berjaya. Kita boleh membuat kesimpulan dalam tugasan ini iaitu dalam usaha untuk menjadi usahawan yang berjaya, bukan satu cara mudah untuk mencapai. Salah satu resipi kejayaan adalah kita perlu lebih berhati-hati dalam meramalkan produk yang betul dalam pasaran. Produk seperti kacang putih mestilah serasi dengan komuniti sosio-budaya di Kawasan Buntong. Idea ini adalah untuk mendapatkan produk yang betul untuk pasaran dan tidak perlu akan dijana melalui satu proses yang panjang dan sukar, tetapi idea yang timbul secara tiba-tiba juga boleh membantu seseorang untuk menjadi usahawan yang berjaya.

BIBLIOGRAFI

Kamus Dewan Edisi Keempat 2014. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Di muat turun daripada
Di muat turun daripada
Di muat turun daripada
LAMPIRAN

Biodata Tokoh
Nama Penuh : Sathis Kumar A/L Sangkaralinggam
Tarikh Lahir : 28 Oktober 1990
Umur : 28 Tahun
Nama Penuh Ibu : Datin Anwesha Chetna A/P Raviendra 
Bilangan Adik-Beradik : 3 Orang
Pendidikan : Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)
Bilangan Anak : 2 orang
Jawatan : Pengurus DNS Kacang Putih Sdn. Bhd. Buntong, Ipoh, Perak



Kedai DNS ini beroperasi di Nombor 46-47, Laluan Sungai Pari 4, Kampung Kacang Putih, 30100 Buntong, Ipoh Perak yang dibuka seawal jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.


Basikal ini merupakan nostalgia dan warisan moyang Encik Sathis yang digunakan semasa membawa hasil jualan ke sekitar negeri Perak.



Susun atur produk keluaran DNS Kacang Putih Sdn Bhd. Syarikat ini merupakan syarikat yang berasaskan pelbagai jenis kacang putih dan muruku.




Sedikit ole-ole sebagai kudapan pemberian Encik Sathis




Selesai temubual bersama Encik Sathis Kumar yang merupakan pengurus utama bagi syarikat pengeluaran makanan yang bernama DNS Kacang Putih Sdn. Bhd.







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN TEMUDUGA KONSTABEL PDRM

WAYANG KULIT DI MALAYSIA

TRIP TO TELUK BATIK