ISU LGBT DI MALAYSIA


Rasa kasih yang wujud secara semula jadi dalam setiap manusia adalah anugerah dan ihsan Tuhan kepada kita. Malangnya mutakhir ini, kerap pula dipekikkan perihal budaya tidak sihat percintaan kaum sejenis. Isu ini teramatlah meruncing sehingga perlu diperdebatkan tidak kira melalui media massa mahupun media cetak itu sendiri. Isu perbahasan tersebut berkisar tentang kegiatan dan hubungan segelintir pihak yang sememangnya mempunyai unsur-unsur homoseksual yang terang dan nyata. Penentangan kepada isu seperti ini harus dilakukan bagi memastikan masyarakat mengetahui pendirian dan komitmen kerajaan dalam menangani isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).
            Menentang gejala songsang LGBT bukanlah sehingga menidakkan hak asasi mereka sebagai manusia yang harus hidup dengan kehormatan. Hak asasi mereka terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan masih perlu dihormati dan dipelihara. Pelbagai langkah yang dilakukan bagi menarik golongan LGBT ini kembali ke pangkal jalan seharusnya dipuji dan diteruskan untuk menambah baik taraf hidup komuniti LBGT, selain dijadikan peluang untuk menitipkan nasihat kepada yang memerlukan.
            Menyantuni komuniti LBGT pula tidaklah sehingga tuntutan mereka keseluruhannya diterima dan diberikan pengiktirafan. Perlu diimbangi di antara hak asasi harus dimiliki semua manusia dan tuntutan-tuntutan memungkinkan kecelakaan agama, budaya dan naratif kebangsaan. Imbangan ini harus diperhalusi sebelum konflik hak asasi membarah dalam negara ini kerana gejala LGBT akan terus berleluasa tanpa kekangan dan ini akan merosakkan kesejahteraan institusi kekeluargaan selain membawa kesan kesihatan yang merisaukan.





2.0 OBJEKTIF KAJIAN

            Saya telah memilih satu tajuk tugasan berkaitan dengan LGBT. Semasa kajian ini dilaksanakan, beberapa objektif kajian diberi penekanan untuk dicapai bagi memastikan tugasan yang dilaksanakan berkesan dan tercapai. Antara objektif kajian adalah seperti yang berikut:

                        i.                    Mengenal pasti definisi konsep LGBT.
                      ii.                    Menyatakan pandangan dan penerimaan tentang LGBT.
                    iii.                    Menerangkan sebab LGBT menjadi satu isu masa kini dengan menyertakan contoh kes di Malaysia dan di seluruh dunia.
                    iv.                    Menyenaraikan langkah Islam menerusi al-Quran dan Sunnah menangani LGBT.
                       v.                   Menghuraikan LGBT dari aspek perundangan di Malaysia dan global.


2.1 DEFINISI KONSEP LGBT
           
            LGBT adalah singkatan bagi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender iaitu sebuah kumpulan yang membentuk satu badan bebas (NGO) di luar negara untuk membantu dan memperjuangkan kumpulan yang mengalami kecelaruan jantina ini. Golongan ini sedang berusaha untuk membawa usul supaya Seksyen 377A-D Kanun Keseksaan[1] yang mengharamkan liwat dan seks songsang luar tabii dimansuhkan. Alasan mereka ialah pengharaman ini bertentangan dengan prinsip kebebasan manusia.
            Lesbian secara umumnya dimaksudkan dengan amalan hubungan songsang dan luar tabii di antara wanita dan wanita. Di Malaysia, perbuatan ini dianggap sebagai salah satu kesalahan jenayah yang boleh dikenakan hukuman yang setimpal dengan perbuatan tersebut. Jika di dalam Islam, lesbian ini lebih dikenali dengan panggilan musahaqah.
            Pada masa yang sama, mengikut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, gay bermaksud lelaki yang mempunyai tarikan seksual terhadap kaum sejenisnya[2]. Gay juga membawa pengertian yang lebih kurang sama dengan lesbian iaitu hubungan songsang dan luar tabii, akan tetapi gejala gay ini dipraktikkan di antara lelaki dan lelaki. Sesetengah orang tidak biasa dengan penggunaan bahasa gay tetapi lebih biasa menggunakan perkataan liwat.
            Biseksual pula ialah amalan persetubuhan bebas antara pasangan lelaki dan perempuan. Pasangan yang dinyatakan di sini termasuklah pasangan yang mengamalkan persetubuhan semasa sebelum berkahwin dan semasa sudah berkahwin juga iaitu dengan menukar pasangan berkahwin dengan orang lain.
            Sementara itu, transgender pula membawa maksud amalan songsang untuk berkelakuan dan bersifat bertentangan dengan jantina iaitu perempuan bersifat seperti lelaki dan lelaki bersifat seperti perempuan. Amalan ini juga turut membawa kepada penukaran jantina yang sememangnya dilarang oleh Islam. Islam hanya membenarkan penukaran jantina bagi kaum khunsa iaitu kaum yang memiliki dua jantina sejak lahir lagi. Kaum khunsa diberi hak untuk memilih jantina yang sesuai dengan mereka. Walaupun begitu, Islam mengharamkan dan menolak sama sekali penukaran jantina bagi yang sudah sedia lahir dalam keadaan normal.






2.2 PANDANGAN DAN PENERIMAAN TENTANG LGBT

            Budaya songsang LGBT ini bermula dari pengaruh Barat yang telah merebak ke seluruh pelosok dunia. Isu mengenai LGBT telah disebut di dalam al-Quran, Torah dan juga Bible. Telah dinyatakan dengan jelas bahawa hubungan songsang iaitu hubungan sejenis dilarang oleh Tuhan tidak kira agama mana sekalipun.
            Di Malaysia, isu yang berkaitan dengan seks bebas dikatakan berkembang setelah rakyat mengetepikan ajaran agama. Pada mulanya, seks bebas atau pelacuran dikesan berlaku di kawasan-kawasan pelabuhan, yang mana ketika kemasukan lebih ramai kaum imigran, iaitu kemasukan lebih ramai kaum lelaki menyebabkan berlaku permintaan yang tinggi ke atas wanita. Oleh itu, isu sosial seperti homoseksualiti ialah hubungan sejenis dan bukanlah terlalu baru di negara kita. Kelompok lelaki gay dan perempuan lesbian wujud di serata tempat dalam situasi 'kekaburan' iaitu secara tertutup. Pada mulanya, aktiviti tersebut bergerak secara senyap, tetapi kini ianya semakin terbuka.
            Walaupun Malaysia merupakan negara berbilang kaum dan mempunyai pelbagai agama, Islam merupakan agama rasmi kepada negara. Islam melarang hubungan sejenis dan menjatuhkan hukuman yang berat kepada sesiapa yang mengamalkan amalan songsang. Mahkamah Syariah juga memainkan peranan penting dalam menangani isu LGBT. Seksyen 377 Kanun Keseksaan[3] turut menyatakan mengenai larangan terhadap hubungan sejenis dan liwat.
            Pada pandangan saya, golongan ini sering berkempen untuk hak mereka berhubungan songsang kerana mereka percaya bahawa hubungan sejenis yang dilakukan atas kerelaan masing-masing merupakan hak asasi manusia. Mereka menjalankan satu kempen atas nama Seksualiti Merdeka, di mana pengamal-pengamalnya akan berkumpul, meraikan makan malam bersama pasangan sejenis masing-masing, melakukan apa sahaja yang diinginkan dan seterusnya mendesak agar mereka turut disahkan pernikahannya dari sudut undang-undang negara. Hal ini kerana, masyarakat Malaysia masih belum menerima pernikahan pasangan sejenis, meskipun beberapa negara Barat sudah mula memberikan pengiktirafan.
            Manakala bagi penerimaan saya terhadap LGBT ialah saya berpegang kepada Islam yang melarang amalan homoseksual dan lesbian. Al-Quran ada menceritakan kisah nabi Lut yang diutus oleh Allah untuk membaiki kaumnya yang mengamalkan perbuatan ini. Kaum ini kemudiannya dimusnahkan oleh Allah taala kerana kedegilan mereka. Dalam Islam hubungan seks hanya boleh dilakukan antara dua orang iaitu lelaki dan wanita yang mengikat tali perkahwinan.
            Selain itu, kita mesti berpegang dengan Islam iaitu Islam tidak membenarkan kita menuduh seseorang melakukan hubungan seks sama ada homoseksual atau zina sekiranya tidak ada bukti. Bahkan kita disuruh untuk mengelak dari menerima pengakuan perlakuan seks seseorang yang tidak mengikut peraturan yang sah. Hal ini kerana Islam tidak suka hal seperti ini dihebohkan. Oleh itu jika ada pihak yang mengaku melakukan zina ataupun homoseksual, sepatutnya kita jangan melayan dan mempedulikannya. Kita tidak disuruh mengintip dan mencari-cari kejadian dosa peribadi seperti itu bahkan disuruh menyembunyikan dosa maksiat peribadi seseorang.
            Selain itu, perbuatan homoseksual merupakan satu dosa tetapi menuduh orang lain melakukan perbuatan itu juga merupakan satu dosa besar. Bahkan mencari-cari kesalahan orang dalam maksiat peribadi antara dia dan Allah merupakan satu dosa yang dilarang oleh agama. Oleh itu, kita tidak boleh mencari kesalahan orang lain dengan mengintip kerana mengintip juga merupakan perkara yang dilarang. Namun jika maksiat seperti homoseksual itu dilakukan secara terang-terangan atau terbuka, maka bantahan terhadap maksiat itu perlu dizahirkan Demikian juga jika kempen ke arah maksiat itu secara terbuka, maka jawapan balas juga perlu secara terbuka. Hal ini kerana perbuatan maksiat peribadi yang terbuka mengeluarkan maksiat itu dari daerah urusan peribadi seseorang dengan tuhannya, maka dengan mengadakan kempen secara terbuka akan mengganggu pihak yang lain dan persekitaran setempat. Namun, bantahan itu hendaklah dilakukan dengan kadar kemampuan setiap pihak tanpa membawa kepada kerosakan yang lain.
            Seterusnya, penerimaan saya tentang LGBT ialah dalam masa yang sama perlu diingat bahawa LGBT juga kadang-kala merupakan satu ujian terhadap jiwa sesetengah individu yang mengalaminya. Golongan ini sebahagiannya tidak dapat mengawal nafsu yang tidak sewajarnya itu yang akhirnya mereka terjatuh dalam dosa tersebut. Kita juga mempunyai dosa dalam perkara yang lain seperti mana kita mengharapkan keampunan Allah, demikian juga sebahagian mereka. Oleh yang demikian, tugasan kita bersama ia membantu antara satu sama lain kembali kepada Allah dan mendapatkan keampunan-Nya.
            Seterusnya, saya berpendapat bahawa kita perlu berdakwah agar golongan LGBT ini kembali kepada fitrah dan merupakan dakwah yang mulia. Usaha agar mereka kembali kepada kehidupan yang normal merupakan satu ibadah dan pahala yang besar. Dakwah itu menuntut kita mencari pendekatan yang terbaik dan sesuai dengan keadaan mereka yang kita dakwah itu. Maka, laras bahasa yang kita guna pakai dalam mengimbangi dakwaan mereka bahawa mereka juga mempunyai hak sebagai manusia hendaklah berkesan dan difahami oleh generasi kini. Kita wajar menjelaskan kepada mereka bahawa Islam menolak seruan dan amalan seks yang songsang tersebut, namun dalam masa yang sama, Islam mengiktiraf sudut-sudut yang lain dari segi keinsanan dan persaudaraan sesama muslim.


2.3 ISU LGBT PADA MASA KINI

            Negara Malaysia tidak lari daripada cubaan untuk pengiktirafan hak golongan LGBT. Sebagai usaha untuk memberi pengiktirafan dan hak sama rata kepada golongan LGBT, Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) telah menuntut Malaysia menerima syor-syor mereka dalam Semakan Berkala Sejagat (UPR) tahun 2013 anjuran Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland[4]. Secara ringkas tuntutan Comango berkaitan LGBT adalah seperti berikut:
1.      Menuntut supaya Malaysia menerima Hak SOGI (Sexual Orientation & Gender Identity). Pengiktirafan orientasi seksual LGBT sebagai hak-hak asasi manusia sejagat.
2.      Syor meminda seksyen 377A Kanun Keseksaan berhubung jenayah liwat. Hujahan bahawa jenayah liwat merupakan undang-undang yang tidak lagi relevan dan ketinggalan zaman (archaic).
3.      Syor agar Enakmen-enakmen Kesalahan Jenayah Syariah dimansuhkan dan pindaan terhadap kesalahan-kesalahan jenayah syariah dan enakmen-enakmen yang didakwa sebagai “mengganggu hak peribadi.”
            Walau bagaimanapun, syor-syor berkaitan LGBT tidak akan terhenti setakat itu kerana pusingan Semakan Berkala Sejagat untuk Malaysia adalah dijadualkan pada Oktober 2018. Diharapkan delegasi Malaysia ke Geneva, Switzerland kelak akan terus berusaha mempertahankan kesucian Islam dalam menghadapi syor-syor melibatkan Hak Asasi Manusia.
            Pada 7 Disember 2017, Australia menjadi negara yang ke 24 mengiktiraf perkahwinan sejenis. Dalam pengundian di Parlimen, hanya 4 ahli Parlimen yang menentang. Rang undang-undang baru Australia hanya perlu menukar perkataan “the union of a man and a woman” atau penyatuan lelaki dan wanita kepada “the union of two people” atau penyatuan dua manusia[5].
            Perkahwinan sejenis mula diiktiraf oleh negara-negara Barat hampir 20 tahun yang lalu. Negara Belanda adalah negara pertama berbuat demikian pada tahun 2000 apabila Parlimen mereka mengundi dengan nisbah yang menyokong adalah 3:1. Perundangan yang membenarkan pasangan sejenis hak untuk berkahwin, bercerai dan mengambil anak angkat ini dibuat hanya dengan mengubah satu ayat di dalam akta perundangan, iaitu “Perkahwinan boleh dijalankan oleh dua orang dari berlainan atau sama jantina”.
            Sweden membenarkan perkahwinan sejenis pada tahun 2010 dan Perdana Menteri mereka, Johanna Sigurdardottir, mengahwini pasangannya, Jonina Leosdottir, justeru menjadi antara pasangan lesbian pertama berbuat demikian di bawah perundangan baru tersebut. Di negara Denmark, dengan termaktubnya keizinan perkahwinan sejenis dalam perundangan, gereja Evangelical Lutheran yang merupakan gereja rasmi negara, diarahkan untuk membenarkan perkahwinan sejenis ini berlangsung di gereja-gereja, walaupun paderi-paderi tidak diwajibkan menjalankan upacara perkahwinan gay atau lesbian tersebut.
            Manakala bagi negara Malaysia pula sedang menghadapi agenda LGBT di arus perdana. Agenda membawa gaya hidup lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) ini telah mula dibawa ke arus perdana apabila majalah National Geographic edisi 2017 mempromosinya sebagai trend terkini dan menyatakan lebih 70 pilihan gender boleh ‘dipilih’ oleh masyarakat global. Pengguna Facebook mempunyai lebih 60 pilihan ‘gender’ sejak 2014. Syarikat Shell pula secara terbuka melalui FB antarabangsa mereka mewar-warkan ‘International Coming Out Day’ yang merupakan sambutan meraikan golongan LGBT pada 11 Oktober lepas.
            Di Malaysia, sudah beberapa kali kita melihat ada ahli Parlimen yang cuba membawa naratif songsang ini ke tengah masyarakat. Pada 21 November lalu, Charles Santiago, Ahli Parlimen Klang dalam Facebooknya sempena memperingati Hari Transgender pada 20 November menggesa agar badan perundangan Islam seperti JAKIM dan JAIS memberhentikan tindakan penguatkuasaan ke atas budaya songsang dan mahu kerajaan memansuhkan semua undang-undang dan peraturan yang dikatakan mendiskriminasikan golongan trangender. Sebelum ini, ADUN Tanjung Bungah Teh Yee Cheu mempengerusikan Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang pada 17 Mei 2016.
            Amalan gaya hidup LGBT sememangnya diharamkan oleh agama Islam, apatah lagi diamalkan secara terbuka oleh masyarakat Timur. Namun begitu, kebangkitan golongan ini dan kemunculan NGO-NGO yang memperjuangkan isu LGBT di Malaysia seperti Pelangi Campaign, Justice For Sisters (JFS), Komuniti Muslim Universal (KMU), Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Malaysia (COMANGO) dan pelbagai pertubuhan lagi sedang digerakkan bagi mencapai matlamat untuk memastikan LGBT diterima sepenuhnya di Malaysia.
            Selain itu, baru-baru ini heboh di media di mana seorang individu terpaksa meletakkan jawatannya sebagai Pegawai Akhbar kepada Menteri Belia dan Sukan disebabkan isu 'gay'. Individu terbabit yang juga merupakan Pengerusi Pelangi Campaign For Equality, satu Badan Bukan Kerajaan yang memperjuangkan hak LGBT, menerima kecaman hebat sehingga dia mengambil keputusan meletak jawatan daripada tugas berkenaan[6]. Perkara ini juga turut menjadi perbahasan kerana menentang gejala songsang LGBT bukanlah sehingga menidakkan hak asasi mereka sebagai manusia yang harus hidup dengan kehormatan. Hak asasi mereka terhadap pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang pekerjaan masih perlu dihormati dan dipelihara.
            Tambahan lagi, Mufti Perlis, Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza turut tampil memberi kenyataan berkaitan isu LGBT yang dilihat kian berleluasa di Malaysia. Dalam akaun Facebook miliknya, Dr. Maza telah mengakui bahawa fahaman LGBT yang dahulunya dianggap ganjil, kini menjadi sebahagian daripada isu penting dan wajar dititikberatkan dan ditangani.
            Terbaru isu tandas untuk LGBT hebat diperkatakan di Malaysia. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh menurut laporan Berita Harian disarankan menggunakan tandas orang kelainan upaya (OKU) ketika berada di tempat awam. Langkah itu dicadangkan sebelum pertikaian mengenai isu itu diselesaikan pihak berkaitan. Namun, saranan itu tidak dipersetujui bekas pembaca berita popular yang juga merupakan OKU, Ras Adiba Radzi. Perkara itu diluahkan Ras di laman Facebooknya. Ras Adiba menyatakan pandangannya menerusi surat terbuka kepada Yang Berhormat Fuziah Salleh untuk menyampaikan bantahannya atas saranan Fuziah itu. Menurutnya, tandas untuk OKU adalah hak mereka dan kerap kali disalahgunakan sebelum ini. Bekas personaliti TV3 ini juga turut bertanya jika penyelidikan dibuat sebelum cadangan itu diutarakan. Malahan Fuziah juga dipersoal jika menteri itu prihatin dengan keadaan golongan OKU. Ras juga menuntut permohonan maaf kepada golongan OKU di Malaysia kerana saranan dibuat itu.
            Bagi menangani isu LGBT, negeri Terengganu telah memberikan hukuman sebat kepada pasangan lesbian yang telah ditangkap. Kedua-dua wanita itu ditangkap pada bulan April lalu, gara-gara cuba melakukan musahaqah di dalam kereta pada pukul 1.50 tengahari di Dataran Arena Square, Dungun, Terengganu. Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu telah menjatuhkan hukuman denda RM3,300 dan enam sebatan terhadap dua wanita terbabit pada 28 Ogos lalu namun terpaksa ditangguhkan kerana masalah teknikal. Walau bagaimanapun, hukuman sebat yang dilakukan semalam turut disaksikan kira-kira 100 orang. Hukuman enam sebatan itu yang telah dibuat oleh dua tukang sebat wanita bertauliah dari Penjara Kajang, Selangor berjalan lancar bermula jam 10 dan berakhir 10.16 pagi. Hukuman ini merupakan yang pertama kali dibuat di negeri Terengganu.
            Isu terbaharu berkaitan LGBT di Malaysia iaitu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) bahawa Malaysia tidak boleh menerima semua perkara yang dianggap sebagai hak asasi manusia oleh Barat, termasuk perkahwinan sejenis. Beliau menegaskan sistem nilai di negara ini tidak sama seperti sistem nilai di negara-negara Barat yang lebih bebas. Dr Mahathir berkata konsep keluarga di negara ini masih kekal iaitu terdiri daripada lelaki dan wanita serta anak-anak atau anak angkat, manakala perkahwinan sejenis tidak diiktiraf sebagai keluarga.


2.4  LANGKAH ISLAM MENERUSI AL-QURAN DAN SUNNAH MENANGANI LGBT
           
            Homoseksual adalah sebahagian daripada perjuangan LGBT. Islam sememangnya melarang keras perbuatan tersebut. Terdapat nas Al-Quran yang memberi peringatan terhadap azab yang diturunkan kepada umat terdahulu mengenai maksiat berkaitan hubungan sejenis. Islam merupakan agama yang begitu mulia dan tinggi darjatnya. Justeru, seseorang yang melakukan dosa dalam perkara tertentu, bukanlah bererti dia dinafikan hak dalam perkara yang lain. Sebagai contoh dosa berzina, atau homoseksual, atau minum arak, atau berjudi dan seumpamanya. Dosa-dosa ini dibantahkan dan diingkari, namun diri yang melakukan dosa tersebut tidak dinafikan haknya dalam hal-hal yang dia berhak lebh-lebih lagi dalam kehidupan bernegara yang setiap rakyat mempunyai haknya yang tertentu.
            Menurut Noor Hafizah Haridi, Kamal Azmi Abd. Rahman dan Rosni Wazir (2016), dalam jurnal mereka bertajuk “Metodologi Dakwah Terhadap Golongan Lesbian, Gay, Biseksual Dan Transgender (LGBT)”, Islam secara jelas menolak LGBT dan umat Islam memandangnya sebagai salah satu dosa besar kerana terdapat banyak dalil dari ayat al-Quran dan hadis yang mengeji perbuatan ini. Asasnya, umat manusia ini diciptakan oleh Allah Taala secara jelas jantinanya, lelaki dan perempuan dan ia dijadikan secara berpasang-pasangan. Sekiranya berlaku ketidakjelasan kelamin, ia disebut sebagai khunsa.
            Dalam satu hadis riwayat al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW sendiri mengajar kita untuk berinteraksi sambil bergelak ketawa dengan seorang pemabuk. Ini bererti kesalahan seseorang itu tidak memberikan lesen semudah-mudahnya untuk orang lain memakinya. Nabi SAW melarang mereka mencercanya kerana baginda kenal kebaikan lelaki tersebut. Dosa tetap dosa. Namun, satu dosa tidak menjustifikasikan untuk dosa lain dilakukan ke atas diri yang berdosa.
            Selain itu, homoseksual satu dosa, namun ia tidak menjadikan pelakunya terkeluar daripada Islam. Pengamal perbuatan ini, selagi tidak menghalalkannya, maka dia tetap seorang Muslim yang berdosa sepertimana pendosa-pendosa yang lain. Kadar dosa hanya diketahui oleh Allah SWT. Dosa semata tidak membolehkan seseorang dikafirkan. Maka seperti pendosa yang lain, keampunan Allah SWT masih terbuka untuk mereka. Sebagai Muslim, mereka ada hak-hak sesama Muslim yang wajib ditunaikan. Hal ini seperti nasihat-menasihati, memberi dan menjawab salam, menziarahi ketika sakit, menerima jemputan, mengiringi jenazah dan selainnya. Demikian juga, sebagai insan tanpa mengira agama mereka berhak mendapat bantuan ketika memerlukan seperti kecederaan, dalaman ancaman dan seumpamanya. Ini apa yang Nabi SAW sebut tentang hak-hak sesama Muslim dan juga hak-hak sesama manusia dalam pelbagai nas Al-Quran dan hadis.
            Seterusnya, amalan seks sesama jenis tetap ditolak oleh kerana ia menyalahi hukum hakam sebagai seorang manusia. Tuhan telah menciptakan lelaki dan wanita, maka melalui perhubungan seks kedua-dua jantina ini manusia membiak dan berkembang secara fizikal dan emosi. Seks sesama jenis merosakkan fitrah yang Tuhan ciptakan manusia. Ia merosakkan rohani dan jasmani insan sama seperti seks sesama mahram (incest), ataupun manusia dengan haiwan. Jika seks sesama jenis diiktiraf atas asas hak asasi, maka seks sesama mahram (incest), seks dengan isteri orang lain, seks dengan haiwan dan seumpamanya dengannya juga nanti akan diiktiraf atas asas yang sama. Islam sebagai agama fitrah tidak mungkin mengiktiraf hal ini semua bahkan menolaknya dan menganggapnya keji.
            Ajaran Islam sentiasa memberikan harapan untuk manusia kembali kepada Allah dengan penuh cinta dan taubat sebagai langkah menangani persoalan ini. Agama ini tidak menjadikan manusia putus asa sebaliknya sentiasa memberikan harapan dan sinar ke arah yang lebih baik. Golongan LGBT sama seperti kita semua, di hadapan terbentang luas pintu untuk kembali kepada Tuhan Yang Maha Penyayang. Golongan LGBT tidak sepatutnya disingkirkan sebaliknya dibantu untuk mendekatkan mereka kepada ajaran agama Islam yang sebenar.
            Tuntasnya, perbuatan LGBT adalah haram di sisi Islam. Isu LGBT yang membawa kepada fahaman dan budaya songsang adalah berlawanan dengan arus sistem agama, kemanusiaan dan kekeluargaan. Perlakuan LGBT ini adalah perlakuan yang songsang yang ditolak sama sekali oleh semua agama samawi.

2.5 LGBT DARI ASPEK PERUNDANGAN DI MALAYSIA DAN GLOBAL

            Walaupun tidak menggunakan nama LGBT secara spesifik, gerakan menyokong agenda LGBT ini telah lama bermula dengan sejarah yang cukup panjang dan perkembangan dari semasa ke semasa. Sekitar abad ke-18 dan abad ke-19 di Eropah, hubungan homoseksual adalah dianggap sebagai satu kesalahan jenayah yang serius dan dianggap sebagai perbuatan yang tidak bermoral di sisi masyarakat.
            Di Malaysia, tiada peruntukan perundangan yang spesifik terhadap gerakan LGBT secara khusus. Namun perbuatan homoseksual dan perlakuan seksual di luar tabii adalah merupakan satu kesalahan berdasarkan sistem perundangan di Malaysia. Merujuk kepada undang-undang Jenayah Sivil, Seksyen 377B Kanun Keseksaan memperuntukkan bahawa “Sesiapa yang melakukan hubungan seks luar tabii secara sukarela, akan dihukum penjara maksima 20 tahun, termasuk sebatan”. Undang-undang di Malaysia setakat ini memperuntukkan sebatan dan penjara tidak melebihi 20 tahun untuk Akta Homoseksual melibatkan lelaki dan perempuan. Undang-undang Malaysia mengenai homoseksualiti terkandung dalam Seksyen 377 Kanun Keseksaan[7]. Menurut seksyen 377A, iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii sama ada melalui mulut atau dubur, hukuman ialah penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat. Dalam Seksyen 377B, berbunyi barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat.
            Manakala, dalam seksyen 377C, pula berbunyi barang siapa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii ke atas seseorang lain tanpa kerelaannya, atau bertentangan dengan kemahuannya atau dengan meletakkan orang lain dalam ketakutan mati atau cedera kepada orang itu atau kepada mana-mana orang lain, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh tidak kurang dari lima tahun dan tidak lebih dari 20 tahun, dan bolehlah juga dikenakan sebat. Seterusnya, dalam seksyen 377D, iaitu melanggar kesopanan dengan melakukan kelucahan melampau, hukuman yang boleh dikenakan ialah penjara sehingga dua tahun.
            Selanjutnya, bagi kesalahan yang melibatkan orang Islam, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan-kesalahan yang berkaitan perlakuan LGBT. Antara kesalahan jenayah syariah di Wilayah Persekutuan yang melibatkan LGBT adalah seperti berikut:
        i.            Seksyen 25 - perbuatan liwat
      ii.            Seksyen 26 - perbuatan Musahaqah (melakukan hubungan sejenis antara perempuan dengan perempuan).
    iii.            Seksyen 28 - perbuatan orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam atas tujuan tidak bermoral
Satu kes yang popular yang melibatkan undang-undang sodomi ialah kes yang melibatkan Dato’Seri Anwar Ibrahim. Pada tahun 1998, Dato’ Seri Anwar telah dipenjarakan di bawah tuduhan sodomi dan korupsi. Beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun yang mana keputusan ini telah ditolak pada tahun 2004. Walau bagaimanapun, beliau mengambil masa lebih kurang 4 tahun sebelum kembali ke dunia politik. Pada tahun 2008, Dato’Seri Anwar sekali lagi ditahan di bawah tuduhan serangan seksual. Pendakwaraya pada mulanya menuduh beliau di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan.
Namun begitu, United Nation of Human Right Council menyatakan bahawa undang-undang sodomi ini harus dimansuhkan kerana ia menjadikan seseorang individu penjenayah disebabkan penjalinan hubungan seksual luar tabii dengan persetujuan kedua-dua pihak.
Malaysia merupakan antara 41 negara Commonwealth yang masih mengguna pakai undang-undang untuk menyekat homoseksualiti. Malaysia Information Department juga telah melarang sama sekali apa-apa saja siaran televisyen yang menunjukkan dan mengandungi watak gay.
Di England khususnya, terdapat undang-undang yang menghukum perlakuan homoseksual dan perundangan ini berubah mengikut zaman. Pada awalnya, undang-undang Buggery Act 1533, ketika zaman Raja Henry VIII memperuntukkan kesalahan homoseksual boleh dihukum bunuh. Perundangan telah diubah dengan Offences Against The Person Act 1861 yang memperuntukkan kesalahan homoseksual kepada penjara seumur hidup. Seterusnya, hukuman ini lebih ringan melalui Seksyen 11 Criminal Law Amendment Act 1885 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun bagi kesalahan lelaki melakukan kelucahan melampau gross (indecency). Akhirnya Sexual Offences Act 1967 telah memansuhkan kesalahan jenayah homoseksual di antara lelaki yang telah mencapai umur 21 tahun. Hal ini jelas menunjukkan bahawa negara Barat pada mulanya tidak menerima perbuatan homoseksual dan perlakuan berkaitan LGBT. Namun secara perlahan, masyarakat Barat tidak menolak perbuatan homoseksual mula menerimanya sebahagian daripada hak individu.
            Seterusnya, pengiktirafan perkahwinan sejenis merupakan salah satu daripada agenda golongan LGBT. Walaupun hampir semua agama tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis, sedikit demi sedikit pelbagai negara mula mengiktiraf perkahwinan sejenis. Belanda adalah negara pertama yang membenarkan perkahwinan sejenis pada tahun 2001. Setakat 2014, perkahwinan sesama jenis juga diiktiraf di Sweden, Argentina, Belgium, Kanada, Iceland, Norway, Afrika Selatan, Sepanyol, Portugal, Denmark, Uruguay, Brazil, Perancis, New Zealand, Mexico dan Israel (walaupun tidak dilakukan di sana), bersama-sama dengan dua puluh lima buah negeri di Amerika Syarikat.
            Baru-baru ini, golongan LGBT telah mendapat kejayaan besar dengan keputusan Mahkamah berkenaan perkahwinan sejenis di Amerika Syarikat. Dalam kes yang dikenali sebagai kes Obergefell v. Hodges, Aktivis LGBT, John Arthur telah berkahwin dengan pasangan sejenis James Obergefell di Maryland, Amerika. Dalam satu tempoh kemudian, John Arthur telah meninggal dunia akibat penyakit ALS. James Obergefell memfailkan permohonan untuk mendapatkan pengesahan supaya beliau dinamakan sebagai waris dalam Sijil Mati John Arthur. Namun Pendaftar di negeri Ohio tidak dapat meluluskannya kerana Pejabat Penasihat Undang-Undang negeri Ohio mengumumkan rancangan meneruskan larangan perkahwinan sejenis di Ohio, Amerika. Pada 26 Jun 2015, Mahkamah dengan majoriti 5-4 memutuskan bahawa berdasarkan Pindaan Keempat Belas (Fourteenth Amendment) semua negeri di Amerika Syarikat diarahkan untuk membenarkan perkahwinan sejenis dan mengiktiraf perkahwinan sejenis yang dijalankan di negeri lain.


3.0 KESIMPULAN

            Melihat bahawa negara kita, Malaysia yang terdiri daripada majoriti populariti umat Islam, maka budaya LGBT ini haruslah disekat. Budaya ini dapat disekatkan dengan mewujudkan mekanisme dan pelan perancangan yang rapi bagi memulihkan golongan LGBT ini. Bantuan dari segi kaunseling, psikologi dan perubatan secara percuma juga dapat membantu dalam penyekatan budaya ini.
            Berdasarkan rujukan dari sumber-sumber di atas, adalah dapat difahami bahawa gerakan LGBT ini merupakan satu gerakan terancang yang agendanya semakin diterima masyarakat dunia. Pada mulanya perbuatan homoseksual dikenakan hukuman yang cukup berat namun beransur-ansur hukuman tersebut diringankan dan akhirnya diiktiraf sebagai hak asasi manusia. Tidak cukup dengan itu, perkahwinan sejenis mula diterima oleh dunia dan akhirnya negara maju seperti Amerika Syarikat telah mengiktiraf perkahwinan sejenis berdasarkan keputusan Mahkamah Agung (Supreme Court).
            Walaupun secara prinsipnya perlakuan LGBT tidak dapat diterima berdasarkan panduan daripada al-Quran dan al-Hadis, undang-undang serta norma budaya masyarakat Malaysia, namun ia tidak menafikan hak golongan ini untuk dibimbing dan dinasihati. Pendekatan ini adalah selaras dengan prinsip dakwah dalam Islam agar memberi peluang kepada mereka yang melakukan dosa dan maksiat untuk memperbaiki diri dan mendapatkan pengampunan Allah.
RUJUKAN

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka. 2007. Edisi Keempat. Kuala Lumpur.
Noor Hafizah Haridi, Kamal Azmi Abd. Rahman dan Rosni Wazir. (2016). Metodologi Dakwah Terhadap Golongan Lesbian, Gay, Biseksual Dan Transgender (LGBT).
Dimuat turun daripada
Dimuat turun daripada
Dimuat turun daripada
Dimuat turun daripada
Dimuat turun daripada
Dimuat turun daripada

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

PENGALAMAN TEMUDUGA KONSTABEL PDRM

WAYANG KULIT DI MALAYSIA

TRIP TO TELUK BATIK